Header2

• 30 June 2012 •

Teringat Kat Broga Hill

Tiada ku sangka
Bola-bola api
Yang sedulunya kecil
Telah menjadi besar


Teringat waktu kecil saat aku baru belajar bermain bola. Masa tu umur aku 7 tahun, rasanya la. Posisi pertama aku ialah penjaga gawang. Grrrr...aku tak gawang la!! Kahkahkah!! Ehem..okey, adegan yang paling aku ingat ialah bila orang sepak bola ke arah aku. Rasa macam lawak, sebab sebenarnya waktu tu aku nak tangkap guna tangan. Tapi entah macam mana, dengan serentak aku boleh angkat kaki kanan. Macam akrobatik pulak bila kedua-dua tangan dan sebelah kaki aku naikkan.

Tak lama lagi, EURO dah nak tamat. Sepanyol jumpa Itali hari Isnin malam Ahad. Aku sokong Sepanyol, sebab Sepanyol team kuat. Kehkehkeh. Sebenarnya untuk EURO ni, tak ada team yang betul-betul aku minat. England vs Itali, aku sokong England. Sepanyol vs Portugal, aku sokong Portugal. Itali vs. Jerman, aku sokong Itali. Final pulak aku sokong Sepanyol. Nampak tak betapa lalangnya aku? :P

Pada aku, untuk apa aku bersungguh sokong sesebuah negara bila dah terang-terang yang aku ni warganegara Malaysia. Pasukan mana pun yang menang EURO, pada aku tetap tak bermakna apa-apa. Berbeza bila aku sokong pasukan kelab. Feel masa menyokong tu dapat aku rasa walaupun kelab tu bukan abah aku yang punya. Contoh la, aku sokong Man Utd, Ym.Bundle sokong Chelsea. Then kalau England menang Piala Dunia pun kitorang apa peduli. Berbeza bila Ym.Bundle sokong Selangor dan aku cuma sokong Johor FC. Then kalau Malaysia lawan Indonesia, apa kejadah pulak kitorang nak sokong Team Rajawali.

Tapi kadang-kadang kelakar jugak bila dengar kat corong radio, siap ada pendengar yang beritahu kat penyampai, dia sedih sebab Jerman dah kalah. Hahaha. Biar padan la muka Jerman sebab kalah. Aku memang suka Jerman kalah. Untuk makluman, team paling aku tak suka sejak kecik ialah Jerman. Tak tahu la kenapa aku anti sangat. Muka diorang petak-petak. So bila aku tengok Michael Ballack & Oliver Kahn, aku rasa macam nampak orang barbarian. Jenis yang pakai cawat, bawak belati, kemudian bersungguh-sungguh pergi berperang.

p/s: Aku lagi sanggup sokong Rep. Ireland berbanding Jerman. Sebab Roy Keane orang Rep. Ireland..


• 27 June 2012 •

Belia Benci Telefon

Aku tak pasti ini adalah pelik ataupun apa. Tapi seperkara yang aku tak suka ialah bila orang telefon aku pada waktu aku sedang bekerja. Atau pada waktu aku sedang tidak bekerja. Atau pada bila-bila masa dan di mana-mana. Memang aku cukup tak suka. Kecuali jika dan hanya jika si penghubung adalah orang yang aku suka. Atau lebih daripada suka. Atau, errr...takpe. Abaikan saja.

Merujuk kepada terbitan terdahulu, aku memang jenis yang sangat malas nak save nombor-nombor kenalan. Nombor telefon kawan-kawan sekolah, nombor telefon teman-teman lama, hatta nombor telefon rakan sekerja pun cukup jarang aku nak simpan. Aku lagi sanggup baca SMS lama atau lihat log panggilan bila aku ingin dail nombor yang aku perlukan.

Tapi masalahnya, nombor aku diorang ada simpan. Rajin diorang call, dan aku kadang-kadang rasa tertekan. Bosan. Dan selalu jugak hilang pertimbangan.

Tutup mata, cuba bayangkan. Ceh, macam la kau tutup mata betul-betul kan? Bayangkan kau tengah khusyuk buat-buat kerja, atau mungkin sedang membaca blog kawan-kawan. Tiba-tiba daripada dalam poket seluar ada bunyi deringan. Kau tak rasa terganggu ke dengan semua tu? Kau tak hangin satu badan? Mungkin kau tak kisah, tapi aku kisah. Kalau aku ada dua badan, aku pasti akan hangin dua badan. Mohon jangan disalah anggap, berbadan dua memang aku tak akan!

Kalau kalian satu tempat kerja dengan aku sekarang, aku rasa kalian akan biasa dengar aku istighfar panjang-panjang. Mengomel pun dah lebih daripada kadang-kadang. Sampaikan aku rasa, “Bodoh la diorang ni! Tak boleh ke jangan telefon aku waktu aku tengah senang!”. Ya, itu pada waktu aku tengah senang. Jadi tak perlu kot nak jelaskan refleks tindakan aku bila dihubung saat aku langsung tak senang.

Salah sorang yang selalu hubungi aku ialah sub-kontraktor. Sampaikan aku kata, “Kau ni dah kenapa? Apa lagi yang kau nak sebenarnya?”. Mujur luahan itu hanya sekadar untuk halwa telinga sendiri saja. Sorang lagi ialah Project Manager. Bila dia call jer bermakna aku akan ada kerja. Habis tu mereka-mereka yang lain apa gunanya? Entahlah, mungkin bos aku ingat kami masih berdua macam kat projek sebelumnya.

Sebenarnya ramai lagi yang call tapi leceh kot nak namakan semua. Sebab implikasi panggilan-panggilan mereka tetap hasilkan rembesan naluri emosi yang sama. Aku tetap tak suka dihubungi oleh siapa-siapa kecuali, kecuali oleh orang yang aku lebih daripada suka. Persoalannya, tak suka jawab telefon ni termaktub dalam kategori pelik ke?

p/s: Aku rasa nak backlink kat Apple. Sebabnya, entah. Aku rasa beliau banyak kali backlink kat blog aku. Aku terharu sebenarnya walaupun dia tak mintak balasan apa-apa. Kepada kalian yang belum jengah blog dia, sudi-sudikan la baca yer. Sebab aku rasa terbitan dia ada banyak informasi yang mungkin kalian jarang-jarang nak jumpa. Kepada blogger-blogger lain, aku akan backlink kalian di lain masa.


• 25 June 2012 •

Tiada Kata Secantik Bahasa

Mungkin aku jadi seorang yang pasif dalam meniti hidup sehari-hari. Berpura, menyimpan, menerka, membayangi, merendam dan memendam hampir segala rasa yang tak terluah dek kata. Sisi aku pada khayalan maya dan diri aku pada dunia nyata, terbeza dengan hakikat bahawa aku hampir tak pernah biarkan khayalak untuk terima apa yang aku fikir tak mampu mereka terima.

Mungkin aku berpegang pada konsep bahawa “kalau suka katakan suka, kalau tak suka diamkan saja”. Jadi bila aku suka akan sesuatu perkara, tanpa ragu akan katakan bahawa aku ternyata suka. Dengarkan tutur nada pun sudah jelas untuk kau tahu bahawa aku cukup gembira. Manakala saat aku terasa, aku memilih untuk bisu tanpa bicara. Biar tertanam rasa sakit tak terhadam pada putaran kehidupan yang terkadang sungguh aku tak rela. Dalam masa yang sama, riak di muka dan lenggok di gaya tetap zahirkan bahawa aku rasa amat tidak selesa.

Mungkin aku fikir bahawa telipati yang aku sampaikan dari gelombang rasa sudah cukup untuk buat orang mengerti bahawa aku rasa tak suka. Walhal hakikatnya mereka tak akan faham andainya aku hanya memilih untuk terus kurangkan kata. Atau mungkin mereka pula berpaksi pada konsep bahawa “haaa..orang tua-tua kata, kalau diam tandanya suka”. Tapi yang betul ialah tidak, aku diam tanda tak suka.

Kesimpulannya, sebahagian aku ternyata tak jujur pada sebahagian rasa.


• 23 June 2012 •

Hikayat Cengkerik, Tikus, Buaya Dan Mentadak

Grrrrrr...aku rasa aku ni dah macam pencinta binatang dah. Chic Na mintak aku letak tajuk Cengkerik. Payeh lagi tamak, mintak Tikus dengan Buaya. Chuu pulak nak tumpang letak Mentadak. So ini kali terakhir tau aku tulis pasal binatang. Kali terakhir kot. Kahkahkah. Oh ya, entry kali ni tak ada tujuan. Hanya karutan semata-mata.

Alkisah pada suatu masa dahulu, tinggal seorang cengkerik yang amat kesunyian. Tak ada seorang binatang pun ingin yang berkawan dengannya. Mungkin kerana dia sering disalah anggap sebagai belalang. Kesian cengkerik itu kan? Setiap hari hidup bersendirian. Berlagu sendu di dalam kelam mengisi sepi gelapnya malam.

Hatta di suatu tempat yang lain pula, tinggal seorang mentadak mentadu yang sering dibuli. Setiap kali dia berjumpa dengan kawan-kawannya, mesti kawan-kawannya akan bertanya soalan soalan yang menyakitkan hati. “Mentadak mentadu, macam mana biawak tidur?”. Si mentadak rasa sangat menyirap. Rasa macam diperbodohkan oleh kawan sendiri.

Arakian di sebuah rumah yang tidak dijaga, tinggal seorang tikus yang busuk. Busuk gila. Suka bebenor selongkar bahan makanan yang ada. Sampaikan maggi yang digantung kat dinding pun si tikus tu robek juga. Makan tak habis pulak tu. Membazir sungguh. Lagi satu, makan megi tak letak perencah pun. Geramnya!! Grrrrrrr....

Manakala di sebuah taman bunga, tinggal pula seorang buaya. Untuk makluman, ini buaya darat yer. Kerjanya mengayat gadis-gadis manis yang ada. Bila taip gadis-gadis manis ni, automatik terbayang mat bangla. Hai adik manissss. Erkk..rasa macam terlebih mengarut pula. Okey, buaya ni bukan saya. Diulangi, bukan saya. Haishhhh..

Maka pada suatu hari, keempat-empat menatang ini berjumpa. Mereka bercadang untuk membuka sebuah kedai menjual pakaian. Setelah berdiskusi untuk beberapa ketika, maka nama kedai diambil dengan menggabungkan nama-nama mereka. Butik Cengkadak. Sekian terima kasih. Dah pasni jangan mintak aku tulis cerita pasal binatang lain. Siapa mintak aku pukul! Kahkahkah.


• 22 June 2012 •

Lipan Terkesima

Sebenarnya aku teringin nak ada staff yang boleh buat kerja tanpa aku arahkan setiap masa.

Maksud aku, kalau staff itu ialah Kerani, aku tak perlu ingatkan dia berkali-kali tentang kerja-kerja yang perlu dikemaskini. Tak kisah kalau dia nak datang lewat setiap pagi. Tak kisah kalau dia nak baca novel setiap hari. Tak kisah kalau dia nak buat ketupat meskipun Hari Raya Puasa lambat lagi. Tak kisah kalau dia nak gunakan telefon office untuk bergosip dengan kawan-kawan sendiri. Yang penting, kerja yang ada tolong bereskan sebelum duduk bergoyang kaki.

Maksud aku, kalau staff itu ialah M&E Coordinator, cuba la belajar uruskan kerja sendiri. Semua benda nak tanya aku. Semua benda nak aku bantu. Kau kan ada laptop satu, cuba la gunakan kemudahan tu untuk benda-benda yang lebih perlu. Bukan melayan youtube, bermain game dan menongkat dagu. Kau datang lambat. Kau balik cepat. Patutnya Sabtu kau ada di pejabat, tapi Jumaat petang kau dah mula mengelat. Sudahnya tak pasal-pasal kerja aku juga yang jadi lambat.

Maksud aku, kalau staff itu ialah Surveyor, aku tak ada masalah apa-apa. Sebab aku rasa, cuma kita berdua yang buatkan projek ini tetap berjalan seperti biasa. Aku tak kisah kalau kau beristirahat kerana aku tahu kerja kau tak pernah tergendala. Jua aku tak kisah kalau atas talian, kau berjudi secara maya. Sungguh aku tak kisah. Cuma aku harap kau tolong control suara. Bingit telinga bila kau berjudi umpama ruang pejabat hanya kau seorang yang punya.

Maksud aku, kalau staff itu ialah Chainman, aku cuma nak beritahu bahawa tempat kerja ialah tempat untuk berkerja. Bukan tempat untuk membuta. Aku tak kisah kau ada iPad ataupun apa. Aku tak kisah kau panggil aku abang meskipun sebenarnya kau yang lebih tua. Okey fine, sebenarnya aku kisah, kelakar pun ada. Kahkahkah. Diam semua! So aku rasa kau patut ambil peluang kat tempat kerja ni dan buktikan bahawa kau bukan hanya mampu jadi Chainman semata-mata.

Untuk makluman, aku ialah pekerja yang paling muda. Jadi aku keberatan untuk mengarah atau memberi kerja pada staff-staff sedia ada. Dan kesimpulannya, nampak tak unsur Lipan Terkesima dalam terbitan yang aku cipta? Tak nampak kan? Bagosss...sebab sebenarnya memang tak ada. Semua ni Ym.Bundle punya angkara. Grrrrrrrrrrrrr...


• 21 June 2012 •

Arnab Yang Terpilu

Sejujurnya aku tak pernah minta sesiapa untuk cuba fahami aku. Kerana pada hakikat, kadang-kadang aku sendiri sukar untuk fahami apa sebenarnya yang aku mahu.

Ia bagaikan larian tanpa tenaga jua tanpa garis pemula. Malah titik penamat juga tiada. Apa yang berlaku pada babak cerita kita ialah perihal hidup bersuka-suka. Di mana aku cuba buat kamu gembira meski dalam masa yang sama aku sedar perilaku ini sering buat kamu berduka. Dan kamu pula, terus bersabar dengan sikap aku yang kadangkala sukar diduga.

Jika dan hanya jika kita dapat ubah putaran masa, aku tak fikir yang aku ingin mengubah apa-apa. Bagi pihak kamu, pilihan memang jelas bahawa bukan aku yang punya. Mungkin kamu terkilan, mungkin kamu kecewa. Mungkin kamu mahu padam sebesar-besar nama dan menghapus sekecil-kecil rasa. Dan aku pula, mengangkat tangan menyerah rela.

Tapi harus diingat, aku akan terus perhati lantas harap kamu gembira. Meski aku tahu rasa ini jelas bukan kamu yang punya, tapi aku fikir tak salah untuk harap kamu berjumpa dengan sesuatu yang ingin kamu menjumpa. Mungkin suatu masa nanti kecelaruan kamu bakal menghampir nilai tiada. Ibarat kisah dongeng puteri raja, live your life happily ever after.

Biarpun aku lari terlalu laju, aku tetap akan tidur di perdu pokok untuk beri ruang kamu berlalu. Usah digugah lena ini andai kamu dah punya niat untuk lari tinggalkan aku.


• 19 June 2012 •

Unta Fadang Fasir

Terbitan kali ini mungkin mampu menyentap rasa.

Aku adalah seorang yang malas. Malas dalam definisi yang teramat malas. Macam-macam perkara yang aku malas. Sampaikan nak save nombor telefon dalam handset pun aku malas. Aku berani kata yang dalam phonebook aku cuma ada lebih kurang 20 nombor sahaja. Sudahnya bila saat kecemasan di mana aku perlu membuat panggilan dengan kadar segera, aku terpaksa baca balik beratus-ratus SMS lama yang dah berbulan-bulan aku terima. Dan aku rasa, “arghhhh...macam cilaka!!”..

Tapi bukan hal tadi yang ingin aku cerita. Aku cuma ingin kata pasal follower. Terlebih dulu aku mintak mahap pada sekalian mereka yang pernah datang kunjung membaca. Mahap juga pada mereka yang minta aku follow semula. Secara jujur, aku tak follow blog yang aku tak rasa nak baca. Konsep “aku follow kau, kau follow aku” pada aku lebih kepada tiada.

Namun demikian (cewah), bila aku tak follow tu tak bermakna yang aku tak baca. Faham kan? Maksud aku, even aku tak follow, tapi aku still kunjung dan baca. Sebagai contoh, blog sida-sida aku tak follow tapi aku still baca. Blog ah chuu aku tak follow tapi aku still baca. Blog husna zahidi aku tak follow, tapi kadang-kadang aku jengah juga. Blog Chic Na pun aku tak follow, tapi still aku singgah bila ada masa. Blog Liyaa aku follow setelah baca beberapa lama. Blog Apple aku follow dan aku baca. Blog Camy and Sis AI pun aku follow dan aku baca. Kecuali blog Ym.Bundle, aku follow tapi aku tak baca. Aku terus komen jer..zzz

Pada nama-nama lain yang aku tak nyatakan kat sini, jangan pulak kome nak terasa. Sungguh aku tak rajin nak taip semua-semua. Sebab ada lagi blog-blog lain yang aku baca walaupun aku tau blog aku diorang tak baca. Tapi aku tak kisah pun sebenarnya. Aku follow diorang bukan dengan harapan diorang akan follow aku semula. Aku follow sebab aku rasa, “blog ni best and kalau aku tak follow means lepas ni memang harapan la aku nak jumpa”.

Kesimpulannya, aku still rasa malas nak tekan follow even blog kalian sering aku kunjung dan baca.


• 17 June 2012 •

Hanya Dalam Kata

Sebenarnya sejak akhir-akhir ini aku sering rasa keliru. Bingung dengan rasional tindakan aku dalam konteks menyulam kasih terhadap kamu. Terfikir apakah ini memenuhi teori hukum penerimaan yang kamu mahu. Atau mungkin konsep “hanya sekadar perlu” secara sinisnya akan menjauhkan diri kamu dari sisi seorang aku.

Sejujurnya adalah benar bahawa aku sayangkan kamu. Aku kira tiada frasa terungkap yang lebih konkrit daripada itu. Kita masing-masing tahu apa yang kita masing-masing tahu. Bahawa manusia tipikal yang ingin ralit dimanja waktu jelas ternyata bukannya kamu.

Sememangnya perihal itu bisa buat kita tidak saling terikat bersama waktu. Dimana kamu dan aku masing-masing punya masa tertentu untuk diisi dengan hal-hal tertentu. Dan ya, aku hargai cara itu. Kerana pada hakikat, aku nyata tak punya banyak waktu untuk selalu temani kamu. Seperti jua kamu yang suatu masa nanti bakal tersuntuk waktu dengan dunia separa baru. Cuma...

Errr...secumanya aku risau andai cara ini tak mampu buat kamu bahagia. Aku risau andai tertib layanan ini gagal tersampai bersama rasa. Aku risau andai aku tak mampu berikan yang terbaik lebih daripada apa yang pernah kamu terima. Banyak lagi kot kerisauan yang aku rasa. Cuma aku tak tahu macam mana nak huraikan dalam konteks terma bahasa.

Seadanya aku teringat pada sebaris kata yang pernah aku baca. Lebih kurang begini taipnya:
"Aku ingin mencintaimu dengan sederhana, seperti kata yang tak sempat diucapkan kayu kepada api yang menjadikannya abu. Dan aku ingin mencintaimu dengan sederhana, seperti isyarat yang tak sempat dikirimkan awan kepada hujan yang menjadikannya tiada."
Petikan frasa daripada Khalil Gibran memang jelas membunga rasa.


• 15 June 2012 •

Tahi Cicak

Bismillahirrahmanirrahim..

Baiklah. Aku rasa aku harus lebih jujur dalam menyusun kata. Dengan tangan kiri menyingkap topeng di muka, tangan kanan pula aku biarkan melakar tertib cerita. Lalu mempersembah kepada sepasang mata kamu dan kamu yang sudi membaca. Maka inilah dia sebuah cerita kosong yang secara jujurnya tidak mengandung sebarang makna.

Seperkara yang ingin aku beritahu. Bahawa blog aku kini telah berwajah baru. Comel kan? Ya, aku tahu itu. Terima kasih. Kahkahkah.


• 11 June 2012 •

Babai Kaka Ngah Sukk

Aku tak tahu la sama ada orang akan percaya atau tidak bila aku katakan bahawa hampir 90% kawan-kawan yang rapat dengan aku adalah dikalangan kaum wanita. Ya, kawan-kawan yang rapat. Rapat yang aku maksudkan ialah dalam konteks meletak rasa percaya saat aku ingin mulakan cerita dan menyingkap tabir aku pada suatu sisi yang agak berbeza.

Dua hari lepas, Sabtu – 09/06/2012, aku luangkan masa untuk datang ke majlis persandingan seorang kawan rapat, nun jauh di Kampar, Perak. Bila orang tanya kawan yang ini aku kenal di mana, rasa agak keberatan nak beritahu bahawa kawan tersebut mulanya aku cuma kenal di server MiRC sahaja. Aku terfikir apa agaknya interpretasi kawan-kawan lama, kawan-kawan sekolah, kawan-kawan belajar, kawan-kawan di Johor terutamanya. Majlis mereka aku tak datang, majlis kawan dunia maya boleh pula aku pontengkan kerja.

Sebenarnya majlis perkahwinan di Johor yang jadi masalah utama. Sebab aku orang Johor. Secara logik, aku tak rasa aku akan balik ke Johor semata-mata kerana kenduri kahwin. Paling tidak, aku mesti kena singgah ke rumah aku, rumah kakak aku, rumah adik aku, dan rumah sedara-sedara aku. Pendek kata, tempoh minimum setiap kali aku bercuti balik ke Johor ialah satu minggu. Dan biasanya tak pernah lebih daripada itu.

Berbalik pada cerita kawan-kawan rapat tadi. Pada aku, majlis perkahwinan dan persandingan kawan-kawan rapat adalah antara event yang seboleh-bolehnya aku cuba untuk penuhi. Aku kira itu adalah saat-saat akhir untuk aku melihat seorang kawan yang akhirnya sah bergelar seorang isteri. Selepas detik itu, hubungan kami akan semakin dibatasi. Tiada lagi mereka-mereka untuk aku manjakan diri. Tiada lagi mereka-mereka untuk aku lepaskan lelah di hati. Tiada itu dan tiada ini, tiada serba-serbi.

Aku seorang lelaki. Dan rasanya aku faham perasaan orang lelaki bila isteri mereka kerap dihubungi oleh kawan-kawan lelaki. Jadi bila saja sah akad bahawa kamu telah dinikahi, maka aku anggap sebahagian diri aku akhirnya pergi.

Kepada Kaka Ngah Sukk (Kak Ngah Busuk), harap kamu berbahagia hingga akhirat dari duniawi. Cerita kita secara praktikalnya berakhir di sini..:|


• 08 June 2012 •

Tolok Rasa

Suatu terbitan ringkas andai kelak nanti masa aku tidak lagi bersama kita..

Demi mata yang tak mampu dibuka, aku terpaksa akur bahawa tahap ketahanan fizikal aku semakin hampir kepada tiada. Di mana Hukum Graviti seakan menenggelamkan beban jasad aku terperosok jauh ke tilam gelita. Ini semua ekoran daripada rasa lelah aku meniti norma kehidupan manusia berkerjaya. Atau mungkin aku perlu jujur untuk nyatakan bahawa akulah kakitangan yang paling komited dan penuh iltizam terhadap kerja..

Sungguh aku meng-ga-la-mi proses hidrasi di mana jasad aku seakan terlalu lesu. Tubuh aku pula bagaikan terdiam kaku, otak aku bagaikan berkarat tepu, manakala hati aku bagaikan sejuk membeku. Dan hidung, hidung aku bagaikan ditiup debu. Bersin dan bersin bertalu-talu. Apa lagi ya. Haaa, jiwa aku, jiwa aku tanpa kompromi rindukan kamu..#_#

Dah la, aku tak ada buah fikiran untuk membungakan bahasa. Aku cuma nak beritahu yang aku selsema. Aku juga nak beritahu yang akhir-akhir ini aku sibuk dengan kerja. Seakan hilang masa yang aku ada untuk bercekerama. Agaknya kalau aku beli seutas jam tangan baru, mungkinkah lebihan waktu aku akan kembali semula seperti dulu? Faham kan maksud aku? Jam baru means aku akan ada banyak waktu. Kahkahkah..

Okey, tak kelakar. Kahkahkah. Yang ini kelakar!

Esok aku nak bergerak jauh ke Kampar. Aku sedikit risau sebenarnya. Entah kenapa. Aku memohon pada Al-Hayyun agar terhindar dari segala malapetaka. Kehidupan sekalian kamu pun, semoga dilindungi olehNya. InsyaAllah..

Betul lah, selsema aku nampak macam makin ketara. Aku ni dah patut kena tidur agaknya. Okey, selamat malam kamu semua, terutama kamu yang nun jauh di sana..

Cis, aku rasa tadi aku nak taip ringkas jer..grrrrrr..


• 06 June 2012 •

Kakak Cantik

Entry ini pendek sahaja. Kot.

Kepada kamu nun jauh di sinun. Aku rasa, aku rindukan kamu. Aku rasa, saat ini kamu adalah insan yang benar ingin aku ketemu. Aku rasa, kemisterian kamu buat aku semakin ingin rasa nak tahu. Aku rasa, bicara bisu kamu buat aku jadi keliru. Aku rasa, tanpa sedar kamu telahpun mandremkan aku. Aku rasa, entahlah, kadang-kadang aku sendiri pun rasa tak tahu. Apa yang aku tahu, sefigura kamu bisa buat aku merasa rindu..

Wahai kakak cantik, adakah kamu pun rindukan aku? Cewah.


• 04 June 2012 •

Bungkus

Bismillahirrahmanirrahim..

Sentuhan kita seakan tiba ke titik penghujung. Di mana ketandusan ilham antara aku dan kamu buat segala cerita tampak seperti tiada makna. Dan di saat ini, aku masih memikirkan perihal kita sambil segala olah rasa yang ada buat aku jadi buntu. Buat aku rasa rindukan kamu yang ada di dalam tiada. Jua dalam masa yang sama buat aku rasa rindukan ‘kamu’ yang tiada di dalam ada..

Ini bukan cerita kamu dan aku dalam konteks ‘berlainan jantina’. Ini juga bukan kisah kasih terlarang bagi darah yang mengalir serupa. Bukan seperti apa yang tergambar pada benak berpasang-pasang set mata yang sudi membaca. Ini adalah cerita kita yang terpisah dek keangkuhan sesama kita. Ini adalah kisah kita yang menjauh hanya kerana sifat dan sikap yang tak banyak berbeza..

Harus kamu tahu bawawa aku tidak pernah menidakkan perasaan kasih kepada kamu meskipun lebih 24 purnama kita bicara di dalam bisu. Jua tidak pernah aku menafikan kewujudan kamu di dalam hati meskipun sekian lama kita saling berdiam diri. Mungkin kedegilan aku selama ini berpaksikan keyakinan bahawa aku bisa melentur hati kamu yang keras seperti besi. Tanpa aku sedar, akhirnya kedegilan ini membesikan hati aku sendiri..

Suatu masa nanti, aku harap kamu akan mengerti bahawa kasih aku kepada kamu sebenarnya tidak pernah berhenti atau terhenti. Tidak akan meskipun nyawa aku tidak lagi mendenyut nadi..


Back To Top