Header2

• 31 May 2012 •

Terspeechless

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku tak ada apa-apa nak taip. Sebenarnya ada. Cuma aku tak pasti yang ada ialah apa. Mungkin saja aku meng-ga-la-mi situasi kronik di mana buah fikiran aku tidak ada dimana tempat yang sepatutnya dia ada. Mungkin juga buah fikiran aku terbang ditiup angin yang sepoi-sepoi menuju ke arah utara..

Oh ya, Kelantan juga berada di bahagian utara. Cuma bezanya, esok dia akan meninggalkan utara untuk kembali ke tempat yang tak berapa nak utara. Betul lah, dia bukannya orang Johor pun. So tak ada konsep keselatanan muktahir dalam perjalanan dia..

Dan lagi, aku susah hati sebenarnya. Susah hati mengenangkan perihal dia. Ketandusan kata-kata oleh seorang dia secara tak langsung buat aku rasa macam “errrrr”. Faham kan? Maksudnya, aku rasa “errrrr” lah. Rasa yang buatkan aku tak tahu nak jelaskan macam mana..

“Errrrr” tu maksudnya speechless. Nampak speechless kan? Kahkahkah!


• 26 May 2012 •

Kotak Segitiga Berbucu Lima

Sembunyikan aku dalam satu rasa yang bisa hilang saat aku pejamkan mata. Kurung aku dalam penjara dunia yang takkan terbuka tanpa izin aku sebagai tuan empunya. Bunuh aku dengan sekejam-kejam cara yang kamu suka. Biar aku ketandusan ilham dalam mengadaptasi perihal hidup bagaikan si bisu yang bercakap tanpa alat pembesar suara..

Kadang-kadang hidup yang berpaksikan rasa boleh buat manusia seperti aku umpama hilang punca. Terdiam. Terkaku. Terpana. Terpesona. Terkhayal. Terasa. Terpaku, dan tercedera. Cedera yang aku gambarkan seperti luka yang ada kat dalam kuku. Sakit tapi aku memilih untuk biarkan ia terus jadi begitu..

Kadang-kadang pula, hidup merentak rasa buat aku persis seorang wira. Bagaikan hikayat manusia tanpa nama yang ralit bercerita tentang cara untuk membulatkan dunia. Atau mungkin juga bagaikan riwayat manusia ada nama yang gigih mengusung berita agar menjadi lagenda satu semesta..

Tapi apakan daya, aku ini cuma si kecil yang sering menyorok di balik penanda masa. Kecil dan kerdil umpama anak hama. Terlalu kecil agaknya. Tapi harus diingat, sekecil-kecil aku mungkin jadi sebesar-besar raksasa. Itu pun jika mata sang semut memandang aku dengan penuh rasa kagum dan bangga..

Kamu pula bagaimana? Kamu mungkin jadi sekecil-kecil makhluk bernyawa. Tapi jika dilihat dari aku punya mata, kamu bisa saja jadi lebih besar daripada dunia. Hinggakan buat aku rasa takut, rasa curiga. Rasa tak berani untuk bertentang mata dengan kamu si pemilik nama. Namun dalam masa yang sama, aku terus melihat meskipun pada skrin 15.8” ini sefigura imej kamu tidak pernah tertera..

Rasa ini buat aku tertanya-tanya. Apakah ini karma aku dalam menghadam hakiki dunia. Apakah ini fasa timbang tara yang menghukum aku dari bangkit menanti lena. Apakah aku, yang memang seorang pendosa, perlu terus pejamkan mata. Atau apakah aku harus biarkan diri dihakimi oleh susuk firasat seorang pentarbiah lagak sempurna..

Tiada kesudahan bagi cerita ini. Umpama biarkan litar elektrik merentas arus pembangunan modenisasi. Biar saja ia terus mengalir. Biar bayangan aku bergulir dalam helaian-helaian maya yang menerjah masuk entah daripada mana. Ikut suka di mana si tetikus menghentikan sorotan mata. Ikut suka di mana naluri ini membuka halaman kitab entah siapa-siapa..

Aku terus saja tekunkan diri untuk membaca. Meskipun kadang-kadang jasad aku terlalu bosan hingga ingin terkeluar rangka. Seperti juga aku terus duduk di bucu kamar memandang kamu dengan senyuman paling mesra. Kadang-kadang bosan, tapi peduli apa, aku tetap suka..

Terlerai sudah cerita-cerita aku yang sarat menyesakkan kepala. Terlerai sudah.

Terlerai. Sudah. Agaknya.


• 25 May 2012 •

Saya Lebih Kecil Daripada Tiga Kami

Cerita kali ini lebih kepada luahan rasa yang tersembunyi. Tentang kesukaan seorang aku terhadap seorang gadis. Jua tentang ketakutan kalau-kalau rasa yang ada terlalu mudah untuk ditepis..

Ada banyak benda yang aku tak faham. Aku tak faham adakah aku ada atau aku cuma sekadar ada. Aku tak faham adakah aku di dalam jiwa atau aku macam di dalam jiwa. Furthermore, aku tak faham adakah apa yang aku rasa menyamai perasaan yang dia punya. Sungguh aku tak faham. Dan aku belum sedia untuk bertanya..

Malah kebelakangan ni aku sering rasa ingin mendekati dia. Aku sering teringatkan dia hampir sebahagian dari separuh hari yang ada. Malam dah kira lain cerita. So aku menilai sendiri rasa, dan mula bertanya di dalam jiwa. Adakah aku mula sukakan dia? Atau ini sekadar khayalan minda, datang dan pergi memutar masa..

Yang lebih menarik ialah tentang sikap dan perwatakan dia. Sering saja keletah si dia buat aku tertanya-tanya. Curiousity is killing, orang putih kata. Perasaan tu buat aku terfikir apa agaknya yang dia rasa. Buat aku berimaginasi jika kalau aku berada di tempat dia..

Apa yang termampu aku buat kala ini ialah menahan segala rasa. Nak kata segala pun tidak, mungkin sebahagian saja. Itu pun bergantung pada daya dan kesabaran yang aku ada. Atau mungkin tipikal seorang aku, lebih rela duduk jauh dan memerhati kelibat seorang dia. Jadi, adakah ini suka?

Lebih daripada suka, hampir kepada sayang - teringat tiba-tiba dialog dalam sebuah cerita. Menunggu kamu umpama si buta yang melihat syurga. Maka apakah perlu aku terus jadi si buta? Apakah suatu masa nanti cerita aku dan kamu bisa jadi cerita kita? Mungkin cuma masa bisa menjawabnya..

Ya, rasa macam pentaipan aku dah makin berjela. Mungkin cukup setakat ini saja. Kepada kamu nun jauh di sana, harap kamu selalu gembira. Harap kita masing-masing dapat kawal keinginan kita. *waktu ini aku senyum sampai ke telinga*

Akhir kata, aku harap terbitan kali ini tak mudah diungkai makna..:)


• 23 May 2012 •

Semak

Aku nak taip sekali nafas saja..

Sekarang ni pukul 4.15pm waktu aku mulakan cerita. Cuma nak beritahu yang kadang-kadang aku rasa tekanan bila ada kat tempat kerja..

Seorang kerjanya bercakap hampir setiap masa. Mengumpat dah jadi macam satu rutin utama. Bergayut di telefon dah macam satu perkara biasa. Aku kat sini seakan bingit telinga. Menahan sabar dan berharap agar komunikasi tanpa henti ini bisa tiba ke penghujungnya..

Seorang pula seakan berada dalam dunia yang hanya dia tuan empunya. Bercinta dengan sekuat-kuat nada. Jua memberi bingit telinga bila setiap lafaz seakan meremang segala roma. Apatah lagi si pencinta menganjak ke 40 tahun usia. Oh ya, kesungguhan bermain poker juga buat aku sakit jiwa. Asyik berjudi atas talian seakan orang lain dah tak punya deria..

Bos juga berada dalam kelas yang hampir sama. Berjalan dalam ruang pejabat seolah-olah seorang gorila berlari mencari mangsa. Habis bergegar setiap objek yang ada. Malah aku yang sedang menulis terpaksa hentikan nafas untuk seketika. Beri ruang kepada dia menyusur keluar ke pintu utama..

Mungkin ini sahaja luahan ringkas yang mampu tercipta. Mungkin jua bisa bersambung di lain masa. Dan maaf, aku menaip dengan berkali-kali nafas sebenarnya. Nafas yang penuh rasa lemas dengan kerenah mereka berdua. Bos aku tiada waktu terbitan ini dicipta..


• 22 May 2012 •

Sejuta Kilometer

Gila. Aku jadi bosan dan tak tahu nak taip apa. Rasa ingin bercerita untuk meluah keluhan jiwa. Tapi sehingga kini aku masih gagal dalam mencerna frasa pemula..

Aku kira sentuhan bukan muhrim antara jari jemari dengan papan kekunci kini dah tak mampu mencerna bahasa hati. Ibarat seorang aku, gagal mendeklamasi perasaan sendiri dalam suatu medium yang rapat terkunci. Zahirnya kamu mampu lihat perihal manusia ini berlagu girang, terukir senyum setiap hari. Walhal pada hakikat, rasa seakan mati, nyawa seakan pergi dan jiwa seakan sepi. Hanya seakan, harap frasa tadi dapat kamu lebih dalami..

Aku rasa aku semakin jauh dari dia. Dan dalam masa yang sama semakin dekat dengan dia. Untuk lebih memutarkan fahaman minda, aku rasa aku semakin jauh mendekati dia. Dan dalam masa yang sama semakin dekat menjauhi dia. Dalam kes ini, ada dua dia yang jadi sumber cerita. Mungkin dia membaca. Mungkin juga dia tak buka. Mungkin dia faham seadanya. Atau mungkin juga yang sebaliknya..

Dwipilihan kadangkala buat aku rasa kurang selesa. Kerana pada kemungkinan ketiga, aku sebenarnya semakin jauh daripada kedua-duanya..:(


• 18 May 2012 •

Tajuk Lagu Flop Poppy Telah Ditukar

Bismillahirrahmanirrahim..

Pada terbitan kali ini, aku agak blur untuk mula menyingkap tabir. Kalau diikutkan, sebenarnya banyak perkara yang aku tengah fikir, tapi tak banyak pula yang mampu aku tafsir. Segala apa yang aku rasa tak dapat aku luahkan secara zahir. Cuma terdaya biar jemari ini melukis rasa hingga ke akhir..

Aku tak pasti apa yang aku rasa ialah apa ataupun apa. Persoalan "siapa" dah tak perlu diangkat untuk menjadi suatu tanda tanya. Apa yang dipersoalkan induk jiwa lebih kepada konsep kenapa dan mengapa. Jua jadi persoalan bagaimana seorang aku boleh terkhayal dalam halusinasi minda..

Bukan salah kamu untuk huruf U dan I bertukar. Ia spontan terlakar. Bagai suatu rutin yang pantas berlaku tanpa kita sedar. Dan kini, sefigura kamu dah bisa buat aku tersenyum lebar..

Apresiasi ini ditulis saat kita tak mampu bertukar-tukar komentar..:)


• 13 May 2012 •

Selamat Hari Ibu, Mak



Sebenarnya daripada tadi saya ingin menaip sesuatu. Sesuatu yang dapat menggambarkan penghargaan saya pada seorang ibu. Tapi semakin lama saya semakin tak tahu. Atau lebih tepat, saya semakin tak mampu. Tak mampu untuk mengekspresikan penghargaan itu.

Pada saya, kita memang mampu kata yang kita selalu sayangkan dia. Kita memang mampu berterima kasih akan segala jasa dan pengorbanannya. Kita memang sentiasa berdoa agar dia sihat sejahtera. Kita memang sayangkan dia lebih daripada apa yang kita sendiri rasa. Dan kita memang sedekahkan Al-fatihah untuk bekalan dia di sana. Tapi hakikatnya, tetap tak ada sebarang kata yang mampu menilaikan penghargaan kita.

Bukan kerana dia adalah tidak bernilai. Tapi kerana dia adalah tidak ternilai.

Salah seorang adik saya pernah berkata bahawa wanita yang sedang bersalin sebenarnya seakan bertarung dengan nyawa. Arwah emak saya ada tujuh orang anak kesemuanya. Bermakna tujuh kali beliau berusaha untuk membawa kami melihat dunia. Bagaimana bagi pihak anda semua? Jumlahnya mungkin lebih, mungkin kurang dan mungkin juga sama.

It doesn't matter. Sebab setiap daripada kita punya takdir dan ketentuan yang berbeza. Seperti juga tempoh masa yang kita ada semasa bersama dia. Ada yang sejak lahir ibu telah tiada. Ada yang menerima kasih sayang selama 12 tahun sahaja. Ada yang selama 24 tahun dapat hidup bersama (saya la tu). Ada yang mempunyai ibu lebih daripada satu, lebih daripada dua dan ada yang lebih daripada tiga. Ada yang ibunya masih lagi dipanjangkan usia. Dan ada yang pergi lebih awal mendahului ibunya.

Biarlah sesingkat mana waktu yang ada. Biarlah detik tu sekejap cuma. Apa yang penting, waktu yang ada akan memberi kita kenangan terhebat sepanjang usia. Well said, seorang ibu bukan semestinya kerana dia sentiasa ada di sisi. Tapi adalah kerana dia sentiasa ada di hati.

Bagi yang telah berumahtangga tetapi masih belum mendapat cahaya mata, yakinlah bahawa rezeki Allah akan sentiasa ada. Dan bagi wanita yang telah dikurnia puteri mahupun putera, Selamat Hari Ibu untuk anda semua.

Juga Selamat Hari Ibu kepada arwah mak saya. Semoga aman dan tenang di sana. Al-fatihah..:)


• 12 May 2012 •

Anak Kambing Saya

Sebenarnya aku ketagih untuk menaip sesuatu yang bersifat jiwa-jiwa. Seakan satu kebiasaan yang hilang bila saja jari aku terkebil-kebil untuk melukis sebuah cerita. Cerita tentang kita. Atau sebahagian dari kita. Atau langsung tiada kaitan dengan kita. Atau apa-apa saja..

Sebelum ni aku fikir, dengan terkikis ingatan aku terhadap dia secara tak langsung akan buat jiwa aku sedikit lega. Rupanya buah fikiran aku cuba berdusta. Rupanya ruas kenangan aku cuba bersenda. Bagaikan satu drama di mana aku adalah pelakon utama meskipun tanpa rela. Asyik bercanda dengan cebisan-cebisan naskah milik mereka yang mungkin pada ketika ini sedang ralit membaca..

Dan entah mengapa sejak akhir-akhir ini rasa tak sedap hati selalu ada. Jangan tanya kenapa, sebab aku sendiri tak tahu punca. Puas aku pujuk dengan ritma irama yang aku suka. Puas aku dodoi dengan melodi penyedap halwa telinga. Tapi tetap juga rasa itu tak terkeluar dari induk jiwa. Kalau keluar pun sekejap saja, bila-bila masa boleh kembali tanpa diduga..

Jadi aku cuba pula gunakan jurus kedua. Aku sibukkan diri dengan segala kertas kerja. Di mana aku kira tumpuan penuh terhadap kerjaya mampu mencerakinkan segala perasaan yang tidak selesa. Dan ya, akhirnya cara aku nampak macam berjaya. Diulangi. Nampak macam berjaya. Nampak. Macam. Berjaya.

Agaknya mungkin cuma kami yang mampu hiburkan kita..:D


• 10 May 2012 •

Allah Maha Menentukan

Anggap saja ini sambungan bagi terbitan kisah yang lama..

Dulu masa kecil, cikgu pernah tanya pasal cita-cita. Waktu tu, masing-masing nak kerjaya yang gah belaka. Askar, polis dan guru sering jadi pilihan utama. Tak kurang yang bercita-cita nak jadi angkasawan atau usahawan berjaya. Kawan aku punya cita-cita pilihan ketiga ialah komunis, aku tak tahu kenapa. Yang musykilnya, askar ialah pilihan pertama dan polis jadi pilihan kedua..

Aku pula, dari dulu memang cukup minat nak jadi cikgu. Sejak Tingkatan Empat, aku dah mula mengajar tusyen untuk anak-anak tauke kedai. Tingkatan Lima pula dipelawa mengajar oleh rakan-rakan sekelas. Malah semasa di universiti, kawan-kawan panggil aku "cikgu" sebab wajah aku dan wajah cikgu salah seorang dari mereka kononnya ada iras-iras..

Dulu masa nak mengisi borang kemasukan ke IPTA, kalau nak ambil course Pendidikan, pemohon wajib menjalani proses temuduga. Aku tak nak lalui proses temuduga. Aku tak suka dan tak sedia. Jadi aku letak Pendidikan sebagai pilihan kelima. Hasilnya, aku dapat pilihan yang pertama. Secara tak langsung menjauhkan aku dari cita-cita yang aku suka..

Tapi Alhamdulillah la. Aku percaya bahawa suatu perkara tak akan berlaku tanpa izinNya. Mungkin dah ditakdirkan bahawa bidang pendidikan tak akan jadi suatu kerjaya. Mungkin ada nilai tertentu yang sebenarnya aku tak ada. Pendek kata, kita hanya merancang, Allah jua menentukannya..:)


• 09 May 2012 •

Cikgu Yang Tentukan

Ini adalah suatu cerita lama yang kian luput dek putaran masa..

Kisah ini berlaku selepas aku tamat Tingkatan Tiga. Iaitu selepas aku dapat keputusan PMR yang tak seberapa. Masa tu, Bahasa Arab aku dapat E sahaja. Tiga tahun belajar, hasilnya boleh dianggap sia-sia. Dan akhirnya memindahkan aku dari sebuah sekolah berasrama kepada satu sekolah biasa..

Waktu tu, banyak perkara yang aku suka. Kalau dalam pelajaran, aku suka matematik. Jadi aku bercadang untuk mengambil aliran akaun. Sebab ada nombor-nombor la konon. Ketara sungguh tahap pemikiran aku ketika itu sebagai seorang budak berumur 15 tahun..

Kalau kat rumah, aku suka membaca dan menulis. Baca buku belajar kurang sedikit, tapi kalau novel memang ralit aku baca sehingga habis. Malah sering aku berangan nak jadi novelis. Aku juga suka melukis. Pernah guna perisian AutoCAD untuk melukis dengan jadikan watak Ishak dalam siri Blues Untuk Aku sebagai bahan katalis. Dan ya, dulu memang aku ada cita-cita untuk jadi kartunis..

Jadi meskipun aku ingin mengambil aliran akaun, rasanya tak keterlaluan kalau aku katakan yang aku suka seni dan sastera. Aku suka bermain dengan bunga-bunga bahasa. Aku suka hikayatkan teori kehidupan aku dalam bentuk frasa yang entah apa-apa. Sebab aku sendiri rasa seronok bila saja apa yang aku baca ialah apa yang aku suka..

Kesimpulannya, aku kini bergelar seorang pekerja dalam bidang kejuruteraan. Bukan bidang perakaunan. Bukan juga bidang kesusasteraan..=.="


• 07 May 2012 •

Aku Terkesima

Aku dapat bayangkan bahawa terbitan kali ini akan lebih panjang daripada biasa..

Dulu, waktu mula-mula blog ini dicipta, niat aku cuma untuk meluah rasa. Sebab secara jujurnya aku tak tahu nak luah di mana. Atau lebih tepat, aku tak tahu nak luah pada siapa. "Siapa" dalam ayat tadi aku definisikan sebagai mana-mana manusia bernyawa..

Sebenarnya aku suka bercerita, walaupun nampak macam aku tak pernah cerita apa-apa. Bukanlah niat aku untuk cipta suatu terbitan yang penuh tanda tanya. Tidak, cuma, entahlah. Anggap saja aku dah terbiasa untuk memendam rasa. Anggap saja aku memang suka berahsia. Anggap saja aku ingin bercerita tapi tak ingin orang betul-betul faham apa yang aku rasa..

Atas sebab itu, aku memilih blog ini sebagai medium pengantara di mana keberadaan aku adalah sahih meskipun kewujudan aku seakan lebih kepada tiada. Dan selepas terbitan demi terbitan, akhirnya rembesan perasaan aku kini semakin lega. Cuma, aku terfikir sama ada terbitan baru akan terus ada bila saja emosi aku tidak lagi di takuk lama..

Aku kira pada bila-bila masa tindakan aku akan menyingkap tirai maya yang aku cipta. Kelak akan tiba masanya, khayalak tahu siapa aku di sebalik cerita. Nanti andai tiba saatnya, bermakna aku telah sedia untuk keluar dari bayangan seorang pendusta. Dan bila saja tiba waktunya, misteri yang kononnya ada akan aku tukar mengikut suka..

Tapi, ada tapinya. Tapi itu tidak bermakna aku mampu ubah kebiasaan bercerita untuk memenuhi kefahaman sekalian kamu yang sudi membaca. Bermakna, jika dan hanya jika naskah aku gagal dicerna, itu masih dianggap suatu perkara biasa..:D


• 06 May 2012 •

Makmur Jaya

Aku dalam cerita kali ini didefinisikan sebagai seorang stalker kelas satu. Sama seperti apa yang pernah aku beritahu. Siapa mangsa aku? Tidak lain dan tidak bukan, semestinya ialah kamu. Sejak bila? Lebih kurang 3 hari lalu. Alasan? Entah, aku sendiri pun tidak tahu..

Salah satu perkara yang buat aku mengusap dagu ialah letak duduk tempat asalan kamu. Kuantan atau Karak, aku tertanya yang mana satu. Jangan risau, keperluan menjawab sebenarnya tidak perlu. Tapi jika kamu mahu, sudah tentu aku rasa terharu..

Bila difikir-fikirkan, sebenarnya aku agak musykil kerana sedari awal kamu seakan dah punya aura untuk buat aku perhati satu persatu. Maksud aku, perhati satu persatu dalam konteks "hanya sekadar perlu". Alasan? Entah, sekali lagi aku sendiri pun tidak tahu..

Aku syak yang kamu bomohkan aku.


• 05 May 2012 •

Hasil Mencedok Karya

Terbitan ini tidak lebih dari sekadar interpretasi jiwa. Di mana aku agak terasa bila saja kamu sering salin semula naskah-naskah aku yang lama. Sebahagian dari aku rasa terharu kerana kamu memilih naskah aku untuk jadi tajuk cerita. Tapi sebahagian pula rasa tak adil bila melihat galaknya kamu sebagai pelaku plagiat minda..

Harus kamu sedar bahawa aku cuma manusia biasa dan apa yang aku rasa juga ialah biasa. Kadang-kadang memang aku tak berkira. Tapi kadang-kadang yang lain pula, aku rasa macam "errkkkk" bila buah fikiran aku seakan-akan kamu yang punya. Walhal apa yang sebenar-benar berlaku adalah sebaliknya..

Bukan niat aku terrrrrlalu inginkan akreditasi bila saja kamu kerap salin semula. Aku cuma rasa tak selesa. Tak selesa bila olahan minda aku ditukarmilik depan-depan mata. Meski aku sedar bahawa tiada tertulis tentang Hak Cipta Terpelihara, tapi maaf kerana tetap juga aku tak mampu elakkan diri dari rasa terasa..

Aku harap suatu masa nanti kefahaman kamu akan ada..:)


• 04 May 2012 •

Daun Keladi

Kalau kamu perasan, kadang-kadang banyak tajuk dan entry aku seakan tiada kaitan. Sebenarnya bukan tiada kaitan. Ada tapi mungkin tak kelihatan. Sebab sebenarnya aku tahu apa yang aku ingin sampaikan. Dan aku faham apa yang aku sedang fikirkan..

Biar aku kupas serba sedikit. Sebagai contoh, entry bertajuk Sedekah di mana pada akhir cerita sebenarnya aku sedang tersenyum, senyum itu kan sedekah. Entry Paling Comel sebab itu tajuk lagu kumpulan Spin yang aku nyanyi. Tajuk Lagu Budak Kacamata ialah Cinta Tak Perlu Dipaksa. Si Bulat pula disignifikasikan sebagai pandangan si dia terhadap dirinya yang dianggap bulat..

Aku Juga Pendusta membawa maksud yang aku berdusta dengan menyatakan bahawa aku faham apa yang aku rasa. Tajuk sebenar Jika Aku Mengerti sepatutnya ialah Jika Kamu Mengerti kerana pada penghujung entry aku telah nyatakan bahawa kosakata aku dan kamu kini telah ditukar ganti. Letak Tajuk Sendiri sebab aku tak punya idea untuk menulis tajuk entry. Manakala Ada Terletak Di Hujung Kampung adalah lirik lagu yang Jamal nyanyi..

Sebagai konklusi, jika dan hanya jika tajuk entry aku kurang kamu fahami, bisa saja sekalian kamu cipta konklusi sendiri..:D


• 03 May 2012 •

Aku Bukan Nobita

Bukanlah perkara pelik untuk minum air sejuk pada waktu hampir ke tengah malam. Walaupun bila difikirkan, 60 minit sebelum ini aku sangat mengantuk dan sedang berguling di atas tilam, dengan lampu bilik telah terpadam, dan pandangan aku terhadap skrin TV pula semakin kelam..

Dan secara tiba-tiba, aku rasa begitu amat sekali teringin sangat-sangat untuk minum minuman sejuk. Sejuk yang ada air batu. Jadi aku salin seluar, aku tukar baju, aku buka pintu, aku turun tangga, aku lagi sekali buka pintu, aku jalan tak berapa laju, sampai kat kereta aku buka lagi pintu, aku start enjin dan mula memandu..

Kopi ais satu. Kopi O ais satu. Kopi ais tadi ikat tepi yer kak. Lebih kurang begitu kot dialog aku. Sementara menunggu, aku pergi kedai runcit sebelah. Aku beli aiskrim satu. Kemudian sambung menunggu. Tak sampai seminit air siap. Aku bayar, aku ambil baki. Make it short, aku dah sampai rumah dan menulis ketika ini..

Apa yang aku pelik ialah kesanggupan aku untuk keluar semata-mata ingin tekak terus dibasahi. Sebab honestly, aku memang sangat pemalas. Kalau aku dah sampai kat rumah, bermakna esok pagi baru kaki aku akan menjejak tanah. Malah kebiasaannya, aku sanggup berlapar daripada turun memasak maggi di bawah..

Sebab mimpi semalam kot. Mungkin aku takut kempunan. Kot.


• 02 May 2012 •

Ada Terletak Di Hujung Kampung

Apa yer aku nak taip. Sebenarnya tadi aku meng-ga-la-mi ketidakstabilan emosi bila mana sepatah dua kata dari salah seorang manusia telah buat aku terasa. Maklumlah, kata-kata dari orang yang kita suka, meskipun tanpa niat dan makna, bisa saja buat kita sedikit hiba..:)

Salah satu perkara yang aku cukup suka pada diri sendiri ialah kebolehan aku untuk memujuk hati. Meskipun bukan 100% menjadi, tapi setidak-tidaknya aku mampu ukir senyuman palsu untuk jadi pendinding diri. Sebab aku pernah baca satu ayat yang taipnya lebih kurang begini, senyumlah kerana senyuman kamu mungkin boleh buat orang lain happy..

Jadi, seikhlas-ikhlas senyuman yang aku beri kali ini, disertakan sekali dengan harapan agar kalian sentiasa gembira menjalani kehidupan sehari-hari. Maaf sebab aku memang tak pandai menaip tentang perkara-perkara rawak setiap kali menulis entry. Aku cuma pandai mengarut sendiri-sendiri..:D

Kepada si dia yang nun jauh di situ, aku cuma mampu berikan Jamal Abdillah punya tajuk lagu. Aku Maafkan Kamu..;)


• 01 May 2012 •

Sis AI

Aku akan taip dua entry kot pada malam ni. Yang pertama pasal tajuk di atas, which is self explanatory. Penghargaan pada seorang kenalan yang boleh dikatakan tak pernah jemu jenguk ke sini. Walaupun blog ini boleh dianggap macam tak ada isi..:)

Pada siapa-siapa yang kenal Sis AI, yang perempuan terutamanya, in case kalau terjumpa beliau kat mana-mana, tolong peluk kuat-kuat untuk saya. Diulangi, yang perempuan sahaja. Lelaki tak dikira. Aku tak bertanggungjawab kalau Hero Kerinting beliau tiba-tiba menyinga..

Kepada Sis AI, terima kasih sebab promote blog picisan ni. Kalau suatu masa nanti aku dah kaya ke, jadi Perdana Menteri ke, Menteri Kewangan ke, Sis AI mintalah apa-apa, tanah ke, rumah ke, asalkan jangan minta aku letak jawatan sudah..

Terima kasih jugak pada semua-semua yang sudi dan pernah jenguk ke sini. InsyaAllah, nama kalian akan dimuatnaik lain kali..:)


Back To Top