Header2

• 31 October 2012 •

Awan Malam

Hmmm..
Aku kusut. Aku tak ada idea. Dan aku tak tahu nak tulis apa. Jadi anggap saja terbitan aku kali ini, sekadar melepaskan batok di tangga. Hanya mencoret sebuah entry, yang langsung tak ada pengisian dan makna.

Dua tiga hari kebelakangan ni, aku agak sibuk dan cukup penat. Usahkan jenguk blog kalian, nak tengok blog sendiri pun kadang-kadang rasa tak sempat. Dengan kertas-kertas kerja untuk laporan mesyuarat, dengan dokumentasi penyeliaan kerja yang sarat, semua ini buatkan aku rasa macam tak larat. Diulangi, macam tak larat.

Tapi kerja tetap kerja. Orang yang makan gaji, memang macam ni la hidupnya. Kawan aku pernah kata, jangan merungut dengan kerja. Kerja tu tak cari kita. Tapi kita yang cari kerja. Kalau tak suka, boleh berhenti. Ramai lagi orang yang cari peluang gantikan kita.

Sebenarnya kalau nak diikutkan, penat aku bukanlah penat fizikal saja. Penat mental pun ada. Tak keterlaluan kalau aku kata, penat mental tu yang lagi utama. Otak aku serabut fikirkan apa aku nak buat dengan kereta. Aku rasa kereta tu bodoh la. Ada jer cara nak bagi aku susah. Hari tu tuning tinggi, sekarang ni masalah lain pulak. Bila aku tekan minyak dia tak jalan, bila aku lepas pedal baru la dia nak gerak. Entah apa-apa entah. Duit banyak habis, kereta tak elok jugak. Grrrrr...

Dah tak payah cerita pasal kereta. Tadi aku keluar makan dengan kawan. Baru aku sedar, salah satu kegemaran aku ialah menengok awan. Aku rasa awan cukup cantik di waktu malam. Aku suka tengok gerombolan putih wap-wap air dikelilingi gelap langit yang hitam. Perasaan tengok langit tu buatkan aku rasa lapang, buatkan aku rasa tenang, buatkan aku rasa tenteram. Hilang seketika kepelbagaian rasa yang kelam, rasa yang buat aku bisu tenggelam.

p/s: kalau aku jual RM12,000 ada siapa-siapa nak beli ke?
p/s: komen aku kat blog kalian tu, boleh hutang dulu tak?


• 28 October 2012 •

Tak Nak Kawan

Ni entry paling straightforward kot..

Dulu masa korang kecik-kecik, korang pernah tak "main tak kawan, tak kawan"? Pernah kan? Pernah kan? Siap tulis dalam diari pulak tu. Kawan biasa. Kawan rapat. Kawan baik. Kawan karib. Kawan musuh pun ada..hahaha. Aku tau la, sebab aku selalu baca diari adik-adik aku. Siap bawak lari masuk dalam toilet, lepas tu baca kuat-kuat..


So malam ni aku nak main tak kawan, tak kawan. Malam ni aku tak nak kawan Bundle, Jna dengan Ninja. Tapi kalau Man Utd menang, aku kawan balik la..kahkahkah

p/s: muhun jangan bahan aku kalau man u kalah..


• 26 October 2012 •

Pencerahan

Terbitan ini merujuk kepada entry sebelumnya.

Tajuk: Satu Kali Satu, Dua Kali Kosong

Diberi,    1 x 1 = 1
            2 x 0 = 00
Maka,    1 x 1, 2 x 0 = 100

So aku cuma nak bagitau bahawa entry tu adalah entry yang ke-100..hahaha

Satu Kali Satu, Dua Kali Kosong..kehkeh

Bahagian I: Satu Kali Satu (satu aku dan satu kamu)

Kamu tu aku refer pada blog ni. Which is something yang aku mulakan lebih kurang 8 bulan yang lalu. Tiga kalimah mudah pulak aku refer pada tajuk entry pertama, Anggap Aku Tiada. Waktu tu aku tak tau nak buat apa or nak cerita apa-apa kat siapa-siapa. So aku create blog ni, aku luah kat blog ni, aku sembunyikan apa yg aku rasa, semua dalam blog ni..

Ingatan aku pada someone buatkan aku banyak menaip dalam blog ni. Banyak jugak yang aku cerita walaupun aku tau ramai yang macam tak faham apa-apa. Yup, ramai yang susah nak faham. Maap la yer. Aku memang suka berkias kot. Banyak benda yang aku nak cerita, tapi tetap tak terzahir dalam bentuk cerita. Semuanya samar-samar. Semuanya kelam. Semuanya buat orang tak faham..hehehe

*****

Bahagian II: Satu Kali Kosong (satu aku dan kosong kamu)

Masih tetap pasal blog ni. Dulu masa mula-mula, blog ni boleh dianggap takde siapa yang tahu. Kosong kamu tu maksudnya mula-mula blog ni kosong. Boleh dianggap macam langsung tak ada pengunjung. Yang ada pun cuma aku jer la. Aku yang tulis, aku yang bukak, aku yang baca..

As times pass by, blog ni makin lama makin ramai pembaca. Tak kisah laju atau perlahan, tapi makin lama makin ramai yang datang singgah, better daripada langsung tak ada. Yang komen pun makin ramai, walaupun setakat komen berebut tempat first, or komen bagitau yang korang tak faham apa-apa. Tapi Alhamdulillah la, apa pun komen aku baca, apa pun komplen aku terima. Sebab at least korang still sudi lagi nak baca entry ni dan entry-entry sebelumnya..

*****

Bahagian III: Satu Kali Kosong (satu kamu dan kosong aku)

Kadang-kadang aku pulak yang rasa kosong. Maksud aku, idea aku kosong. Banyak benda yang aku nak tulis, tapi aku tak tau macam mana nak mula. Rasa macam blog bergerak makin laju tinggalkan aku. Aku pulak yang dok terkejar-kejar cari idea macam mana nak tulis entry baru. Tercari-cari something yang worth writing untuk isi dalam blog ni..grrrr..macam la entry dulu-dulu worth reading yer dak? Kahkahkah

Tapi betul ni. Ada masanya aku macam banyak sangat idea nak tulis. Ada masanya pulak aku macam langsung tak reti nak menulis. Yer la. sekarang ni kalau nak tulis entry dah tak boleh nak berkias sangat macam entry yang lama-lama. Walaupun inspirasi nak menulis tu ada, and walaupun aspirasi nak menulis tu pun ada, tapi intonasi bahasa dah tak boleh lagi nak belasah ikut suka. Atau dalam bahasa mudah, sekarang ni aku rasa susah nak menitikan kata..

*****

So itu jer la penghargaan aku pada blog ni. Cerita aku pasal blog ni. And entry yang ke-100 untuk blog ni. Moga pencerahan ini memberi dimensi berbeza pada sudut bacaan korang semua..:D

p/s: "Izzah haus ke? nah amik ni 100plus satu"..maknanya, Encik Haris nak bagitau yang ini adalah entry ke 101..hahaha


• 24 October 2012 •

Satu Kali Satu, Dua Kali Kosong

Satu kali satu. Satu aku, dan satu kamu. Aku kira kecintaan kali ini bermula lebih kurang 8 bulan yang lalu, dengan tiga kalimah mudah dilakar menjadi saksi yang bisu. Saat itu, aku memilih bersama kamu untuk luahkan apa terbuku. Saat itu, aku memilih berteman kamu untuk menyulam senyum yang palsu.

Persisnya ingatan aku terhadap dia secara tak langsung merapatkan kita. Pada kamu aku mula kongsi cerita, pada kamu aku mula leraikan rasa. Dengan metafora maya melindung nada, dengan anafora kata menghias sukma, dan dengan epifora bahasa sulam bicara, kita mula berkasih dalam julat keterbukaan yang tidak dijangka. Halus, telus, tenang melangkah melangkau masa.

*****

Satu kali kosong. Satu aku, dan kosong kamu. Andai disingkap pada tirai kenangan waktu, perkasihan kita mulanya tak ada siapa yang tahu. Cuma aku tahu yang aku ada kamu, cuma kamu tahu yang kamu ada aku. Dan cuma kita yang tahu kebebasan mutlak seorang aku, mengisi kekosongan di dada kamu. Kekosongan yang aku isi dengan penuh kasih tulus yang satu.

Kini setelah bergulirnya waktu, cerita kita tak lagi cuma seorang tahu. Meski tidak beribu, tapi kisah ini sudah mula tersebar dari satu ke selepas satu. Sudah ramai yang dapat melihat, sudah ramai yang bisa menghidu. Ibarat sembunyi di langsir pintu, seperlahan mana tirai disingkap, lambat laun lirikan mata tetap bertemu. Dan kini, berpasangan mata menyaksi kamu, tanpa aku rasa cemburu.

*****

Satu kali kosong. Satu kamu, dan kosong aku. Masa yang pantas berlalu tak pernah dapat menghentikan waktu. Dan akhirnya, aku kadang-kadang seperti kian ditinggalkan. Ditinggalkan dalam komposisi cernaan akal yang penuh kekosongan. Menjadikan aku adakalanya separa bisu. Tercari-cari luahan termampu untuk terus temani kamu.

Aku kira kekosongan bukanlah suatu pilihan. Ada masanya aku penuh bernafsu melakarkan bahasa bisu untuk deria pandangan kamu. Ada masanya aku terkial kaku melukiskan coretan baru untuk dikongsi bersama waktu . Menitikan kata-kata indah untuk halwa telinga kamu kini tidak lagi mudah seperti dulu. Namun harus kamu tahu bahawa aku tetap sayangkan kamu, sepertimana perasaan yang bermula lewat 8 bulan yang lalu.

p/s: terbitan ini menggenapkan seperatus daripada sepuluh ribu..


• 22 October 2012 •

Letter For You

Tajuk saja skipping orang putih, tapi pengisian masih tetap dalam Bahasa Melayu.

dua kali!!
Semua wanita mahu cantik. Dan semua wanita mahu kelihatan cantik. Ia adalah suatu perkara yang subjektif, di mana cantik dan kelihatan cantik ini terletak pada darjah konvensional yang cukup unik. Dan aku kira perihal kecantikan ini akan kekal bersifat polemik, biarpun terbahas dalam bahasa yang penuh retorik.

Jika aku perlu jujur, aku harus katakan bahawa kamu bukanlah dalam kategori wanita yang cukup cantik. Ya, kamu sememangnya tidaklah terlalu cantik. Tapi, masih tetap ada tetapi. Tetapi kamu dikategorikan sebagai wanita yang punya aura dan daya penarik. Di mana daya penarik ini ada pada sikap, sifat, perwatakan dan hati yang celik.

Pembawaan diri kamu sebenarnya adalah sesuatu yang molek. Kamu cuba berbuat baik, kamu cuba bersangka baik, kamu cuba wujudkan persekitaran yang baik, dan kamu cuba jalinkan silatulrahim yang baik. Kamu cuba lakukan yang terbaik biarpun kamu sedar bahawa kadang-kadang kebaikan kamu masih tetap dipandang jelik.

Tak apa. Biarkan. Jangan berhenti berbuat baik, meskipun ada masanya kamu tidak dilayan baik. Jangan berhenti bersenyum tawa, biarpun ada masanya kamu seakan dinista hina. Hidup memang begini. Kita tak akan dapat puaskan semua jiwa, kita tak akan dapat pekakkan sebelah telinga. Sakit itu adalah makanan hati. Sama ada mahu ataupun tidak, kita tetap perlu tahan, telan terima.

Ini saja terbitan remeh yang mampu aku cipta, biarpun dalam olahan frasa yang mungkin tidak cukup sempurna. Moga terbitan ini bakal mampu merawat jiwa, moga terbitan ini bisa mampu menghapus duka. Moga suatu masa nanti kamu sudi datang dan baca. Itu sahaja. Kot. Agaknya.

p/s: 'cantik' yang cantik, tak terletak pada muka..


• 20 October 2012 •

Sakit Jiwa, Sakit Telinga

Pernah tak sepanjang 90 minit anda rasa macam nak tumbuk perut orang? Pernah tak? Pernah? Tak?
Dush!! Dush!! Dush!!

Aku pernah. Dan selalu rasa macam tu. Lebih-lebih lagi bila aku tengok siaran langsung bolasepak Liga Malaysia. Bukan aku diskrimasi terhadap liga bolasepak tempatan, lantas mengagungkan liga bolasepak luar. Tidak sama sekali. Aku tahu sistem pembangunan, kemahiran teknikal, aspek taktikal dan pengurusan liga bolasepak tempatan masih jauh ketinggalan berbanding liga bolasepak oversea. Aku masih boleh terima segala kekurangan tu tanpa kompromi.

Tetapi, masih tetap ada tetapi. Tetapi keinginan aku untuk terus menonton siaran langsung bolasepak tempatan, pantas terhenti bila saja kata-kata segelintir pengulas sukan buat aku rasa cukup dan tersangat sakit hati. Hinggakan setiap kali dia bercakap, aku terus rasa nak maki.

Sebagai contoh, sewaktu Malaysia bertemu Hong Kong tempohari. Baru dapat satu tendangan sudut, pengulas dah cakap, “itulah yang harus kita cari”. Contoh lagi, pemain Malaysia buat percubaan, jauh tersasar dari pintu gol, pengulas pun kata, “skill yang sungguh menakjubkan”. Nak contoh lagi? Pemain Malaysia melakukan crossing, tapi tak menjadi, pengulas pun kata, “dia sepatutnya boleh simpan lagi bola tu, dan tunggu sehingga rakan sepasukannya naik ke atas”.

Atau kalau nak contoh lagi, sila tengok siaran langsung perlawanan akhir Piala Malaysia yang tengah berlangsung sekarang ni. Pengulas jemputan buatkan perlawanan akhir macam tengah baca buku cerita kanak-kanak. Tensen betul aku. Orang tengah tengok bola, dia sembang pasal saham. Lempang kang haa..

Tolonglah! Mereka tu pemain profesional. Hari tu kita menyaksikan perlawanan persahabatan international. Sekarang pulak Piala Malaysia punya final. Elok-elok la sikit jadi pengulas tu. Tak semestinya bila kau bekas pemain kebangsaan, bermakna kau boleh jadi pengulas sukan yang baik. Tolonglah jangan ulas macam perlawanan bolasepak peringkat sekolah. Kau dah agak lama jadi pengulas sukan. Sepatutnya kau boleh perbaiki kelemahan kau, bukan kekal pada tahap yang sama.

p/s: jangan jadi pengulas kalau tak tahu macam mana nak mengulas..aku tumbuk engkau kang..grrrr


• 18 October 2012 •

Pada Hujung Kuku Yang Bisu

Resah. Marah. Geram. Tak tahu nak taip apa. Atau lebih tepat, tak tahu nak taip macam mana. Anggap saja terbitan ini dicipta saat kondisi aku tak berapa gembira. Boleh tanya kenapa, tapi jangan harapkan jawapan yang tegak macam tiang bendera.

Dalam bilik segelap ini, dalam kamar sedingin ini, ditemani pekikan radio yang masuk sebelum telinga kiri, bersandarnya seorang aku diam sendiri terasa hati. Asbab untuk perasaan kali ini adalah remeh. Remeh sekali. Seremeh potong kuku jari kat tangan kanan, kemudian terus pergi mandi. Tanpa sedar kau lupa  bahawa kuku jari tangan kiri pun sebenarnya perlu dipotong rapi.

Ya, aku tahu. Hiperbola itu langsung tak membantu.

Sebenarnya aku punya nilai sensitiviti yang cukup tinggi. Kawan aku, Hazati, pernah kata bahawa perangai aku cukup sukar untuk dimengerti. Aku boleh bersabar dengan kepelbagaian hal yang besar, tapi sering saja perkara-perkara yang kecil buat aku terasa hati. Terasa hati dalam komposisi yang cukup tinggi. Pada waktu itu, jangan berani-berani nak tegur aku. Kecuali kalau kamu dah cukup sedia nak kena maki.

Okeylah, aku beri contoh mudah untuk kronologi yang berlaku hari ini. Misal kata, bulan lepas kamu nak potong kuku. Kemudian adik kamu kata, dia pun nak potong kuku sekali. Tapi ketip kuku tak ada, dan dalam kes ini, anggap ketip kuku tak boleh dikongsi. Kamu tanya pada mak, nak beli sendiri atau biar ayah yang beli? Mak kata, nanti biar mak yang pergi beli.

Hari ini, mak belikan ketip kuku. Tapi untuk adik kamu sahaja, dia cuma beli satu. Untuk kamu, dia buat macam tak tahu. Childish kan? Ya, aku tahu. Dan dalam cerita ini, kamu itu adalah aku.

Sebenarnya kalau diikutkan, bukan itu yang jadi isu. Bukan pasal harga, atau nilai ketip kuku itu pada pasaran waktu. Tapi pasal perilaku. Pasal ketidakadilan yang sebenarnya bukan sekali dua berlaku. Konsepnya sangat mudah. Aku nak. Dia nak. Dia dapat. Tapi aku tak dapat. Padahal sesuatu yang aku nak tu sememangnya wajib untuk aku dapat. Tak ada sebab untuk menidakkan apa yang sepatutnya jadi hak aku.

Dah, itu jer. Pergi tido, esok sekolah!

p/s  1: tadi waktu aku tengah menaip, tiba-tiba keluar lagu Oh My English..rasa macam nak tumbuk jer TV tu..

p/s 2: aku menaip dalam gelap, so apa yang aku nampak kat hujung jari adalah kuku.


• 15 October 2012 •

Impian Dia

Ini adalah cerita tentang impian. Impian seorang budak lelaki, yang pada waktu itu cuma masih belasan.

Beberapa hari yang lepas, sewaktu dia menjelajah diari maya entah siapa-siapa, dan entah dari mana-mana, terlihat pula akan segmen seorang blogger, berkaitan dengan impian yang belum terlaksana, agaknya. Wah, panjang sungguh ayat tadi, nasib baik ada banyak koma.

Sebenarnya dia tidak berniat untuk turut serta pada mana-mana segmen yang ada. Dia cuma terimbau semula impiannya masa muda, waktu itu dia masih dalam Tingkatan Lima. Di mana pada hari terakhir, dia berdiri di depan, bercerita tentang impian dia pada semua kawan-kawannya.

Impiannya yang pertama, suatu yang dia sendiri rasa mustahil, tak sedikitpun terfikir  yang impian ini akan terlaksana, iaitu menjelajah ke dalam kawasan Segitiga Bermuda, atau meneroka Lubang Hitam nun jauh di angkasa. Niatnya cuma satu, dia hanya ingin tahu, misteri apa yang sembunyi pada kedua-dua dunia sana. Dan impian ini, dia jatuhkan pada bahagian sisi yang 'gila'.

Impiannya yang kedua, suatu yang dia rasa tak mustahil, tapi memerlukan belanja yang dia sendiri tak tahu berapa. Dia ingin melawat tujuh tempat ajaib di dunia. Dia ingin berdiri di atas Tembok Besar China, dia ingin melihat Menara Condong Pisa, dia ingin menyaksikan Taj Mahal di India, dan dia ingin meneliiti senibina Piramid Giza. Candi Borabudur di Jawa, Angkor Watt di Kemboja, dan Taman Tergantung Babylon pun dia nak jelajah juga. Dan impian ini, dia jatuhkan pada bahagian sisi yang 'kaya'.

Impiannya yang ketiga, suatu impian yang dia tahu tak mustahil, dan dia mahu laksana selagi dia masih bernyawa. Apa yang dia impikan, ialah bawa ibu dan ayahnya, ke Tanah Suci Mekah, menunaikan Rukun Islam Kelima. Dia ingin orang tuanya rasa, duit yang dia kumpul hasil titik peluh dan usahanya, meskipun kerjanya kini, kadang-kadang langsung tiada peluh mahupun usaha. Dan impian ini, dia jatuhkan pada sisi yang 'nyata'.

Tapi itulah, tak semua impian kita akan terlaksana. Sama macam dia, sehingga kini, anggap saja semua impian dia pun masih belum terlaksana. Tapi tak apa, sekurang-kurangnya impian itu buatkan manusia mortal seperti dia, punya keinginan untuk hidup dengan lebih bermakna.

p/s: impian aku adalah dia..ini cuma impian ngada-ngada..dan impian ini, aku jatuhkan pada sisi yang 'manja'..kahkahkah


• 13 October 2012 •

Satu Bintang

Andai kalian baca terbitan-terbitan lama saat blog ini mula-mula dicipta, kalian akan sedar bahawa kebanyakan cerita aku lebih menjurus kepada dia. Kali ini masih tetap sama. Masih cerita tentang dia, tapi dalam pengisian yang aku kira sedikit berbeza.

Sebenarnya ini cuma terbitan untuk ucapan Selamat Hari Lahir, jua interpretasi kepada sebahagian perasaan aku yang sedikitpun seakan tak pernah berakhir.

To my everdearest you, Selamat Hari Lahir untuk kesekian kalinya. Harap kamu sihat-sihat sahaja. Harap kamu sentiasa gembira. Harap kamu nikmati setiap hari dengan lebih bermakna. Aku sisipkan lagu ini, lagu yang pernah kita dengar sewaktu kita masih bersama. Lagu yang aku kira menyampaikan semua rasa, meski 'kita' kini tiada.




Aku tak tahu sejauh mana atau selama mana perasaan ini akan terus kekal dan terwujud ada. Apa yang aku tahu, kamu masih dan tetap ada. Bagaikan satu lagenda bernyawa, tegar membayangi aku biarpun jauh kaki kelana. Seperti bait-bait kata yang sedang menjamah telinga, perasaan aku akan tetap bersama walau jasad kini semakin sirna.

Tapi, ada tapinya.

Kebelakangan ini interaksi dua hala antara kita nampak dah kembali pulih seperti biasa. Dah boleh kembali bergurau senda, dah boleh kembali beramah mesra. Apakah mungkin, ikatan yang terlerai bakal kembali bertaut semula? Apakah mungkin, sebahagian kisah yang dulu bakal kembali terjalin semula? Aku harap 'ya' dan 'ya', tapi segalanya tertakdir pada ketentuan Yang Maha Kuasa.

Sesungguhnya kamu adalah antara kisah terbaik yang berlaku sepanjang usia. :)

p/s: aku rasa terbitan-terbitan kat sini dia tak akan dan tak pernah baca..in fact, dia tak pernah tahu pun yang blog ni ada..tapi andai kalian kenal siapa empunya diri yang aku cerita, mohon dan mohon JANGAN maklumkan kepada dia.


• 10 October 2012 •

Sakit Telinga

Kadang-kadang, mendengar cerita dua lelaki, yang masing-masing dah berkeluarga, buatkan aku sakit telinga. Bukan sakit telinga disebabkan mereka dah berkeluarga, manakala aku belum berumahtangga. Tidak. Yang itu aku tak kisah, dan tak rasa apa-apa. Sakit telinga ini adalah apabila aku terpaksa diam dan tadah untuk dengar perkara yang sama berulang kali.

Yang seorang hampir empat puluh tahun usia. Isteri ada satu, anak ada tiga. Tapi punya hubungan terlarang dengan seorang janda, yang juga merupakan kekasih lama. Yang seorang pula dalam lingkungan tiga puluh lima. Hujung minggu ini, anak tunggalnya bakal menyambut ulangtahun kelahiran yang kedua. Isteri pun satu sahaja. Tapi kekasih gelap dia aku tak pasti ada berapa. Tak terfikir pula aku nak kira.

Masalahnya, masing-masing taknak mengalah kalau cerita pasal wanita. Ayat seboleh-boleh nak tunjuk yang mereka power. Kononnya kalau dipetik hujung jari, kekasih masing-masing bila-bila boleh serahkan diri. Cerita pasal perempuan sana, cerita pasal perempuan sini, tapi bila suruh tambah cawangan, macam-macam alasan diberi. Sampaikan kadang-kadang aku rasa, mereka berdua sebenarnya takut bini.

Sudahnya, aku cuma diam, mulut terkunci. Sesekali senyum, takut-takut kalau mereka terasa hati. Sesekali aku buat-buat tengok kuku kat ibu jari kaki. Sebabnya, aku bosan. Dan aku malas nak tunjukkan ekspresi yang aku meluat ataupun benci. Mungkin kalau sekali dua, aku boleh hadap dan tahankan lagi. Tapi kalau kisah berjela, mohon asingkan aku pada bucu dinding yang sunyi.

Tapi. Ada seperkara yang aku puji. Sehingga kini, masing-masing tak pernah lupa pada tanggungjawab juga family. Biar sejauh mana mereka berkelana cari rezeki, biar sedikit tersasar liku kehidupan masa kini, tapi tanggungjawab sebagai ketua keluarga, dan ingatan masing-masing pada isteri, masih kekal dan kemas pada tahap yang paling tinggi.

p/s: aku ni naive, innocent, teruna, suci dan murni..moga aku tak terjebak dengan skandal, bila nanti telah sah bergelar suami..#_#


• 08 October 2012 •

Pada Satu Garisan Halus

Aku bukannya terlalu mahir dalam selok belok ilmu agama. Aku juga bukan berniat untuk jadi keyboard warrior. Apa yang aku nak cerita kali ini, adalah sebahagian besar fahaman yang berlaku dalam masyarakat kita. Atau mungkin, ia sebenarnya turut berlaku kepada kita, dengan ataupun tanpa kita sendiri sangka.

Sering aku lihat dan baca di mana-mana, saat 'hukum' membuatkan kita pantas menghukum sesama kita.

Aku kira kita masing-masing ada belajar ilmu agama. Kita diajar tentang dosa. Kita diajar tentang pahala. Kita diajar tentang perihal hukum yang lima. Kita dididik untuk percaya ada syurga jua neraka. Dan kita sedia maklum bahawa ganjaran dosa dan pahala adalah ketentuan Yang Maha Kuasa.

Tetapi, ada tapinya. Bahawa kadang-kadang kita tak sedar bahawa kita sering jatuhkan hukum pada manusia.

"Kau tak tau tutup aurat, kau berdosa."
"Kau tau tak, tak tutup aurat tu berdosa."
"Hari-hari kau minum arak, sah-sah kau ni masuk neraka."
"Hari-hari kau minum arak, kau tak takut ke masuk neraka."

Pada sekali baca, dua ayat tadi memang begitu tampak serupa. Tapi sebenarnya terpisah makna pada garis yang sangat tidak ketara.

Aku tak berniat untuk membidas hukum agama. Tidak juga mempertikai sesuatu yang terang-terang dah ditentukan olehNya. Malah aku sendiri pun kadang-kadang terlandas pada mentaliti tipikal yang sama. Aku cuma nak kita, diulangi, kita faham bahawa ketentuan dosa dan pahala bukannya urusan kita. Kita boleh berpesan-pesan, kita boleh saling beringat pada kita yang selalu lupa. Tapi jangan jatuhkan hukum seolah-olah kita yakin yang dia dapat dosa, dia dapat pahala, dia masuk syurga, dan dia pula masuk neraka.

p/s: garisan ini tak akan terlihat nyata, ia cukup halus sampai kita sendiri tak sedar bahawa kita sedang dan telah melewatinya.


• 07 October 2012 •

Lewat Semesta

Sekarang pukul 12.58 pagi waktu aku mula menaip entry.

Sebenarnya tadi aku ada publish sebuah entry. Tajuknya, Merindukan Kami. Tapi aku delete sebab aku rasa entry tu macam terlalu ringkas. Macam terlalu mudah untuk dibaca. Macam terlalu remeh. Dan bila aku sendiri baca, aku rasa kepuasan menulis tu seakan hampir kepada tiada. Kepuasan menulis, pada aku, ialah apabila apa yang aku tulis mampu buatkan aku terasa lega. Sebab biasanya, aku akan menulis bersama rasa. Seolah bercerita pada skrin yang hanya mampu terima.

Sekarang pula pukul 1.09 pagi. Right after aku selesaikan perenggan tadi.

Okey, biar aku cerita pasal Anugerah Blockbuster yang aku tengok kat Astro Ria. Masa segmen yang nyanyi-nyanyi, antara artis yang ada ialah Randy Pangalila. Lantas apa yang aku ingat ialah salah satu lagu dia yang aku dengar suatu masa dulu. Tahun 2008, waktu tu Randy Pangalila belum popular di Malaysia. Aku pulak masa tu masih menetap di Kulai. Jadi sebelum pergi kerja, aku akan tengok carta lagu dan konsert kat TV Indonesia. Pasang jer aerial tinggi, dapat la siaran Indonesia dan Singapura secara percuma.

Tajuk lagu ini ialah Lewat Semesta. Dan lagu ini adalah antara lagu yang aku suka. Dan lagi, aku tak tujukan lagu ini pada sesiapa. Kerana tujuan entry ini pun cuma nak beritahu yang aku dah delete entry sebelumnya. Kehkehkeh..

Oh ya, sedikit tentang entry tadi. Sebenarnya aku rindu kat dia. Tapi aku tak tahu nak divertkan perasaan tu macam mana. Maksud aku, nak divertkan dalam bentuk frasa, yang boleh aku baca, yang boleh aku faham, yang boleh aku terima, dan yang boleh buat aku rasa lega. Dah, itu saja. Harap-harap entry ni aku tak delete. Ate, moh ler kiter dengor lagu ni sama-sama. :D




p/s: wahai insan yang di sana, mungkin saja ini kau dengar, melewati semesta ini, aku sampaikan..


• 04 October 2012 •

Melepaskan Kami





Ada perkara yang kadang-kadang kita terpaksa relakan pergi. Ada rasa yang kadang-kadang kita terpaksa biarkan mati. Ada perkara yang kita ingin, tapi terkubur demi menjaga sepasang hati. Dan ada rasa yang kita mahu, tapi tersusur demi dia dan diri sendiri.

Hari ini, aku memilih untuk lepaskan seorang kami.

Lama aku berfikir, puas aku mentaksir, dan kini aku rasa cerita kita usai sampai ke titik akhir. Bukan salah kamu, cuma aku yang memilih untuk jadi ingkar dan mungkir. Itu jua jawapan aku andai suatu masa nanti jasad ini telah terkubur lalu disoal Munkar dan Nakir.

Harap kamu terus hidup, segar dan mekar bersama takdir.

Kamu tentu tahu dimana letak duduk dan nilainya kamu. Tak perlu aku perjelas atau huraikan satu persatu. Meski kamu diam, meski kamu kaku, meski kamu membeku tiap kali aku coretkan rindu, namun hakikatnya kamu pernah dan masih ada di situ. Dan kamu akan tetap ada, hingga ketentuan Yang Maha Satu sirnakan kebuk rasa yang dulu.

Maaf kerana kini aku memilih untuk membisu. Aku kira itu adalah cara termampu untuk hindarkan putik, bunga dan debu.

p/s: aku masih tetap lebih kecil daripada tiga kami, meski kita dah tak lagi sama seperti dulu.


• 02 October 2012 •

Dikhianati - Part 2

Terbitan ini adalah lanjutan pada kisah sebelumnya.

Aku ada sorang adik. Adik kandung. Ini adik yang lain, bukan si penjamin waktu aku belum punya lesen kereta. Ini adalah adik lelaki bongsu yang aku ada. Waktu itu aku tinggal di Tanjung Malim. Adik aku pula tinggal di Klang. Dan sebelum ini dia ada bengkel kecil-kecilan untuk servis sistem pendingin hawa.

Jadi bila saja aku hal-hal yang berkaitan dengan kereta, aku akan hantar kepada dia. Maklumlah, adik-beradik. Apa sangat yang nak berkira. Lagipun dia punya ramai kenalan di sana. Dan aku pun tak kisah kalau perlu keluarkan sejumlah wang pada orang yang aku rasa patut untuk aku letakkan rasa percaya.

Mungkinkah ini punca pada kronologi cerita?

Tetapi. Itulah dia. Kadang-kadang banyak perkara yang tak terjangka, berlaku tanpa kita duga.

Kenari aku sebenarnya masih boleh diguna. Ada steering, ada tayar, boleh beroperasi seperti biasa. In fact, aku bawa kereta tu dari Sg. Petani ke Tg. Malim, dan dari Tg. Malim ke Klang tanpa masalah yang begitu ketara. Aku hantar kepada dia, berserta sedikit wang pemula, untuk perbaiki bahagian-bahagian yang rosak binasa. Dan sepatutnya seminggu kemudian aku ambil semula kereta.

Seminggu kemudian aku datang, kereta masih belum ada. Okey, tak apa. Aku datang minggu seterusnya. Kereta masih tetap tak ada. Minggu bertukar bulan, kereta aku tak ada juga. Dah dua bulan tunggu pun tetap juga tak kunjung ada. Aku dah mula syak. Bila aku tanya, pelbagai alasan yang aku terima. Kerana dia adik, aku diamkan saja. Mungkin dia kekurangan wang, jadi duit yang aku beri, dia pakai dulu buat sementara. Itu yang aku fikir, agaknya.

Perasaan syak aku makin ketara bila dah masuk tiga bulan pun kereta aku tetap tak ada. Aku tanya di mana bengkel kerata. Aku nak tengok Kenari tu dah jadi apa. Tapi dia kata, bengkel tutup hari Ahad. Maklumlah, Isnin hingga Sabtu aku bekerja. Jadi aku mohon cuti, aku datang hari Isnin, minggu seterusnya. Dia bawa aku ke bengkel. Bengkel tu tutup. And the best part is, singboard pun tak ada. Aku fikir positif saja. Mungkin bengkel orang Melayu, bajet nak buat signboard belum ada. Positif kan? Hahaha. Diam lah!

Worst come to worst, adik aku makin lama makin mengelak. Call pun tak angkat. Aku datang pun dia buat macam aku tak ada. Cilaka betul. Grrrrr..Dan akhirnya, aku ke balai buat laporan. Takut-takut kalau adik aku bawak pergi merompak, tak pasal-pasal aku jugak yang kena. Sebenarnya aku nak buat laporan hilang. Biar dia kena tanggap. Pedulik hapa aku. Tapi pihak polis nasihatkan aku supaya berbincang elok-elok. Dia suruh aku bersabar. Agaknya 9 bulan sebelum tu aku tak bersabar ke? Aku bayar loan tiap-tiap bulan tahu tak? Kalau aku ni mengandung, aku dah ada anak tau. Kalau! Grrrr...

Jadinya, aku buat laporan bahawa kereta tu aku serahkan kepada adik. Tujuan laporan untuk dapatkan semula kereta. Dan akhirnya, aku dapat semula kereta tu dan live happily ever after. Bagus betul kalau ending tu ada. Tak payah aku taip entry ni berjela-jela.

Aku tak dapat kereta tu. Diulangi, AKU TAK DAPAT kereta tu. Adik aku pun dah pindah daripada rumah sebelumnya. Keluarga aku tak tahu dia sekarang duduk kat mana. Nombor telefon dah berkali-kali ditukar. Hari Raya pun entah dah berapa tahun dia tak balik. Dah buat dajal kat aku, takut la tu nak jumpa keluarga.

Sekarang ni, aku dah tak bayar loan kereta. Surat lawyer pun dah dapat. Bukan nama aku jer yang kena, nama adik aku yang penjamin tu pun terbabit sama. Adik aku yang penjamin tu dah meninggal. Kemalangan motor masa balik kerja. Pun dia tak balik jenguk arwah abang dia. Mungkin kalau ditakdirkan aku yang meninggal, baru dia balik agaknya. Hmmm...

So nama aku blacklisted. Jangan kata nak beli rumah, nak buat loan AEON Kredit untuk beli handphone pun tak lepas. Nak beli kereta yang aku pakai sekarang ni pun kena loan kredit. Interest mahal pulak tu. 10% setahun. Nak renew road tax kereta pun susah. Sebab Kenari tu ada kes, mungkin pernah kena tahan kat mana-mana. Entah la, Tak tahu nak cakap macam mana. Susah kot bila dikhianati oleh orang yang sepatutnya kita boleh percaya. Rasa macam diperbodohkan pun ada.

Oh ya, dulu aku pernah nak buat laporan kereta tu hilang. Tapi tak boleh. Sebab polis kata, kalau buat laporan hilang, akan bercanggah dengan laporan sebelumnya. So sekarang, kalau aku buat laporan pun dah tak guna. Kenari tu dah tak ada perlindungan insuran. Hilang pun aku tetap kena bayar juga.

p/s: kalau korang, rasanya korang akan buat apa?


Back To Top