Header2

• 30 September 2012 •

Jangan Kejutkan Aku Biarpun September Sudah Berlalu

Ketahuilah bahawa rasa bosan kadang-kadang buat manusia seakan tidak diperlukan.
Hari terakhir dalam bulan September. Aku rasa agak susah hati. Ada lah sebabnya. Tapi aku tak tahu macam mana nak mulakan cerita. Rasa susah hati dan tak tahu nak buat macam mana ni akhirnya buatkan aku rasa bosan. Tahu kan bosan tu macam mana? Bosan tu macam kau berdiri tegak-tegak mengadap dinding. Kalau boleh hidung tu biar sentuh permukaan dinding. Kemudian kau senyum. Itu namanya bosan.

Dah lah. Aku nak tidur. Jangan mengada pukul 12.01tghmlm nanti tiba-tiba ada yang nak kejutkan aku dengan lagu Greenday pulak. Aku lempang karang. Grrrrr..


• 26 September 2012 •

Kita Yang Tak Sempurna


Sebelum apa-apa, aku nak minta maaf andai terbitan kali ini mengundang rasa murka mata pembaca. Ini adalah pendapat peribadi saja, dari sepasang set mata yang cuba faham apa dibaca.

Kebelakangan ini aku sering jenguk ruangan seorang rakan blogger, Apple nama penanya. Apa yang aku lihat, agak kecoh bila mana kelompok pembaca umum giat bertalu menyerang dia. Semuanya dek kerana salah satu terbitan beliau. Tentang perihal Guru Kaunseling Sk Batu Tiningkang.

 

Aku rasa, aku faham apa yang Apple cuba sampaikan. Aku tahu teguran dia niat membina. Sepembacaan aku sejak sekian lama, aku percaya bahawa Apple jarang terbitkan suatu entry yang sia-sia. Begitu juga dengan terbitan itu, aku percaya bahawa wujud unsur positif yang ingin disampaikan pada pembaca. Dan lagi aku percaya, sesuatu akan kekal positif andai positif cara kita untuk memahaminya.

 

Tetapi. Ada tetapi.

 

Tetapi aku rasa, aku pun faham apa yang tukang komen rasa. Meski gaya bahasa bersulam cela, meski alunan kata tersisip nista, aku mampu mengerti ketidakpuashatian yang ada dalam hati mereka. Pada aku, apa yang Apple tulis ada benarnya. Cuma, mungkin penggunaan beberapa bait kata buatkan beberapa pihak terasa. Sebagai contoh, perkataan 'tidak layak'. Seakan memperlekeh kredibiliti mereka.

 

Aku tak salahkan Apple dalam perkara ini, dan aku tak rendahkan cikgu dalam perihal ini. Sebab semasa di sekolah lama, aku sendiri nampak cikgu-cikgu seperti ini. Masing-masing punya kerenah dan perwatakan mereka. Ada yang seakan tiada, dan ada pula yang kelihatan outstanding, jadi cikgu kegemaran semua.

 

Sebenarnya nak mengajar ni susah. Cukup susah. Sebab ia memerlukan minat dan keikhlasan. Dan keikhlasan itu pula tak dapat diukur oleh orang lain, tidak juga oleh diri sendiri. Kita sering lihat dan dengar cikgu yang posting jauh dari keluarga. Dari semenanjung ke Sabah dan Sarawak. Yang Sabah dan Sarawak pula membawa diri ke ibu negara. Sekilas terfikir, ikhlaskah mereka berjauhan dari keluarga? Ikhlaskah mereka mendidik apa yang dipertanggungjawab kepada mereka? Tiada jawapan pada kita, tidak juga pada mereka.

 

Dan lagi, ada juga guru yang mempunyai kepakaran lain, tetapi ditugaskan ke bidang berbeza. Sebagai contoh, cikgu Matematik Tambahan dan Kimia aku adalah orang yang sama. Bukan niat memperlekeh, tetapi jujurnya kami sering hilang punca. Bukan salah cikgu, tapi pihak sekolah kekurangan tenaga pengajar yang sepatutnya ada.

 

Jadi, dalam kronologi yang aku baca, tiada isu yang besar ketara. Apa yang Apple tulis ada logiknya, cuma mungkin agak kasar andai dibaca dengan mata sahaja. Kamu harus celikkan minda, lapangkan dada, faham apa yang dia tulis, terima dengan hati terbuka. Kita tak akan jadi sempurna, tapi kita bisa lebih baik dari kondisi sedia ada. Terima kasih, itu sahaja.

 

p/s: waktu terbitan ini baru separa, rakan blogger aku, Liyaa pun ada luahan terhadap isu yang sama. sudikan baca, faham, dan nilai bersama.



• 25 September 2012 •

Bintang Utara

Serasa aku makin hilang suatu kebiasaan yang agak lama. Kebiasaan untuk menginterpretasikan segala apa yang aku rasa, dalam luahan yang membisukan segala makna. Serasa rindu pada olahan frasa kata yang dulunya jadi teman tika aku anyam bicara. Serasa kosong, terdiam, bisu, janggal, tepu dan jemu. Bagaikan bersarang medula aku ketandusan ilham menitikan bahasa.

Terkadang aku fikir, interaksi dua hala antara kita umpama cerminan sisi yang kabur. Kau mungkin tak sedar, kau mungkin tak akur, bahawa komunikasi yang kita cipta, seakan tak terlandas pada liku jalan yang luhur. Bagaikan satira, bersifat major kontrastif. Segala apa yang terzahir pada suratan mata, mungkin tak terlahir pada siratan jiwa.

Kita berputar pada layar yang samar, pura dan dusta.

Sesungguhnya, aku ingin bebaskan masa dari terkurung dalam julat khayalan purba. Aku ingin benamkan nista yang menjahanamkan sukma dewata jiwa. Aku ingin kodifikasikan rutin yang patut ada, perlu ada, dan dikehendakkan ada. Aku ingin lari hingga ke hujung dunia, meskipun kitaran ini menempatkan aku pada titik asalan yang sama.

Kau akan faham andai diam pejamkan mata.


• 22 September 2012 •

Mohon Jangan Tukar Tilam Lama


Andai 20 September adalah ulangtahun kelahiran orang yang saya suka, maka 21 September pula adalah ulangtahun kelahiran bekas teman wanita saya. Hahaha, lawak pula rasanya bila menaip perkataan 'bekas teman wanita'. Seakan terlalu formal untuk wacana yang sedikitpun tidak menjana minda..:p

Sebenarnya saya bukan nak cerita pasal 'bekas teman wanita'. Saya cuma nak luahkan ketidakpuashatian terhadap Blogger punya antaramuka. Pada saya, antaramuka yang baru ini tak cantik, dan saya rasa tak biasa. Tak biasa itu memang logik, kerana antaramuka baru perlukan masa untuk menukar ketidakbiasaan kepada sesuatu yang tampak biasa.

Tak cantik pula, saya klasifikasikan pada sudut pandangan empunya mata. Sekilas baca, tulisan seakan lebih kecil waima saiz mungkin masih tetap serupa. Paling ketara, antaramuka baru kali ini seakan tiada variasi warna. Bagaikan terlalu rata, dari mata tak jatuh ke jiwa. Puas juga saya mencari cara nak tukar ke antaramuka lama, tapi tetap masih tak jumpa.

Mujur saya tak tekan-tekan ikut suka. Sebab kalau tersilap tekan, takut-takut ada kebarangkalian untuk jadi macam kawan saya. Habis semua gambar koleksi diari, resepi, kahwin, tunang, honeymoon, dan sebagainya, tiba-tiba terhilang dek Google+ punya angkara. Apa nak buat, benda dah nak jadi der. Ate kome sabo jer la yer..

p/s: kepada Cik Hana, selamat hari tua..kamu pasti masih ingat sebuah entry lama, Saya Sayang Hidung Saya..kehkeh..semoga berbahagia dengan si dia..:)


• 20 September 2012 •

Dikhianati - Part 1

Biar aku cerita, tentang perihal sebuah kereta.

Dulu, lama dulu, sebuah Kenari terwujud ada. Aku beli sewaktu aku belum ada lesen kereta. Adik aku jadi penjamin. Meski cuma kenderaan terpakai, kereta itu memang sangat memberi makna. Body berwarna hitam, steering berwarna putih. Lengkap dengan skirting dan sport rim, lebih cukup daripada bergaya. Maklumlah, pemilik sebelumnya pemuda cina.

Dalam Habis Jahanam
 
Selepas mahir memandu, baru aku dapatkan lesen kereta. Jauh juga jalan merata. Sehinggalah terjadi suatu peristiwa. Yang akhirnya mengundang malapetaka.

Waktu itu, aku memandu ke Penang, nun jauh di utara. Saja nak jumpa seorang gadis yang aku suka. Sebenarnya dia kerja di sana. Kampung Sg. Gelugor tempat menyewa. Sg. Petani pula kampung asalnya. Untuk lebih spesifik, keluarganya tinggal di Taman Ria. Dipendekkan cerita, aku bertolak ke Sg. Petani, menghantar dia. Kemudian check in di Hotel Casa Lagenda. Keesokkan harinya, kereta aku dilaporkan tiada di tempat letak kereta. Dicuri. Ghaib. Hilang dari pandangan mata.

Aku nak buat laporan polis. Tapi pihak polis memaklumkan bahawa kereta aku dijumpai terbabas di Tikam Batu. Maka aku bertolak ke sana. Orang yang kononnya jumpa kereta aku, meminta wang saguhati sebagai 'upah jumpa'. Dari situ, aku syak bahawa 'orang yang jumpa' dan 'si pencuri' adalah penyamun yang sama.

Bukti tiada. Mahu atau tidak, aku terpaksa juga berikan beberapa ratus yang ada. Tambahan lagi bila polis yang ada seakan bersubahat dengan 'orang yang jumpa'. Seboleh-boleh suruh aku bayar saja apa diminta. Dan lagi, tak menggalakkan aku buat laporan polis untuk mengelakkan kereta aku ditahan sebagai bahan bukti kes mereka. Seakan aku bakal lebih susah andai tak mengikut kata mereka.

Aku turutkan lagi, kemudian kembali ke Sg. Petani, ambil barang dan check out dari Casa Lagenda. Pihak hotel maklumkan ada saksi yang nampak kejadian curi kereta. Pencuri ada tiga, dan sah bahawa salah seorang berseragam Polis Diraja Malaysia. Sekali lagi, bukti tiada. Padi dimakan pegar berbaju kemeja.

Cerita tidak tamat begitu saja. Kronologi kes baru bermula. Sehingga kini seakan tiada garis hujungnya.

p/s: hari ini adalah ulangtahun kelahiran Cik Sg. Petani..semoga bersatu jodoh dengan tunangnya, dan terus berbahagia ke akhir masa.


• 16 September 2012 •

Kitaran Hipertensi

Hari ini, 16 September 2012 adalah sambutan Hari Malaysia. Hari ini, 29 Syawal 1433 adalah hari terakhir bagi mereka yang sebulan berhari raya. Hari ini, ulangtahun kelahiran Payeh entah yang keberapa. Enam belas tahun agaknya. Dan hari ini, aku ingin menyuarakan ketidakpuashatian terhadap komposisi bunyi yang sering menyesakkan halwa telinga.

Sepanjang 2 bulan, dari mula Ramadan hingga hujungnya Syawal, deria dengar aku disogokkan dengan pelbagai seleksi lagu-lagu raya. Sejujurnya, aku cukup rimas, dan aku rasa tak suka. Aku tak pasti apakah cuma aku yang tidak suka, atau orang lain pun rasa kurang selesa. Tapi apa yang aku pasti, gegendang telinga aku cukup pantang mendengar putaran lagu-lagu raya.

Bukan aku tak suka pada lagunya, tapi aku tak suka pada suasana. Atau lebih tepat, aku tak suka pada pilihan masa. Pada aku, lagu raya semolek-moleknya diputarkan seminggu sebelum raya, dan seminggu selepas raya. Senggang waktu selain itu, aku rasa masanya seakan tidak mengena. Seperti mereka yang gigih melaungkan "Merdeka!", pada sambutan Hari Malaysia.

Suatu sisi lagi ialah pilihan lagu terhadap masa. Jujur aku tak nampak apa relevannya untuk mainkan lagu D.J. Dave - Menjelang Hari Raya, pada minggu pertama kita berpuasa. Seperti jua aku tak jelas di mana kesesuaian untuk putarkan lagu Rafeah Buang - Bila Takbir Bergema, pada minggu terakhir sambutan hari raya.

Mungkin cuma telinga aku yang tak hadam dengan citarasa berhari raya. Mungkin cuma deria dengar aku yang terlalu cerewet menyulam nada. Mungkin orang lain tak rasa apa-apa. Atau mungkin, rasa lebih daripada suka. Tak mengapa. Ini cuma pendapat peribadi aku sahaja.

p/s: dulu sewaktu mengendalikan radio online, aku cukup lemah bila terpaksa menunaikan pilihan lagu-lagu raya..nak marah tak boleh, sebab itu masing-masing punya selera.


• 14 September 2012 •

Tak Guna You!

Assalamualaikum..

Tempoh seminggu yang baru sudah ini buatkan tenaga aku seakan habis dikerah. Rasa macam terlalu banyak urusan. Sibuk dengan pihak JPJ. Semuanya hanya kerana aku nak perbaharui cukai jalan. Dalam rekod dinyatakan bahawa ada kes membabitkan kereta lama. Jadi, aku pergi ke JPJ Kuantan, sebab sepengetahuan aku, di mana-mana cawangan pun aku boleh berurusan. Tapi pihak JPJ Kuantan maklumkan yang aku harus ke cawangan JPJ Shah Alam.

Jumaat 7 Sept 2012, aku pun memandu ke Shah Alam. Penat? Ya. Sesat? Semestinya tidak. Oh ya, cawangan JPJ memang dekat benar dengan UITM Shah Alam. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja aku berjumpa dengan beliau. Tapi nak buat macam mana, urusan aku memakan masa yang agak lama. Tak ada kesempatan nak jumpa meskipun sekejap cuma.

Berbalik pada cerita dengan JPJ. Aku ditanya, kenapa harus berkelana beribu-ribu kilometer hanya untuk cukai jalan sahaja. Buat di JPJ Kuantan pun tak apa. Pihak JPJ Kuantan harus hubungi mereka dan mereka akan buka fail siasatan dan beri maklumat yang sepatutnya. Itu tak apa lagi, mungkin masalah komunikasi dua hala, agaknya. Apa yang lebih mengusutkan keadaan ialah apabila pegawai JPJ memaklumkan, bahawa cukai jalan kereta yang terkini tak dapat diuruskan selagi masalah kereta lama tidak diselesaikan.

Lantas apa yang aku fikir adalah dalam terma secara logik. Tak mungkin sampai begitu kompleks komplikasinya. Jadi bagaimana kalau orang yang ada 3-4 buah kereta? Takkanlah setiap satu cukai jalan mereka pun tergendala. Tapi disebabkan yang melontar bicara ialah pegawai JPJ, dan aku pula bukan jenis yang nak bertengkar lama-lama, maka aku iyakan saja. Maka aku keluar dari cawangan JPJ dan menuju ke bank untuk uruskan pembaharuan cukai jalan.

Petang itu juga aku balik ke Kuantan. Sebab Sabtu kan aku kerja.

Selasa 11 Sept 2012, aku dikejutkan dengan berita bahawa nenek telah meninggal dunia. Sakit tua. Meninggal pada jam 4.30pagi. Dikebumikan lebih kurang pukul 11.00pagi. Aku tahu berita tersebut dalam pukul enam. Pukul tujuh aku bergegas pulang ke Johor. Tak sempat nak lihat jenazah sebab aku sampai lebih kurang pukul sebelas setengah. Tak mengapalah. Sekurang-kurangnya aku dah jumpa arwah pada Aidilfitri yang baru sudah.

Pagi Rabu aku bergerak menuju ke ibukota. Dengan niat suci murni, nak mengambil cukai jalan telah tersedia. Petang iku juga aku terus balik ke Kuantan. Sebab semalam aku dah kembali bekerja. Dan hari ini adalah hari Jumaat. Cukup seminggu rentetan perjalanan beratus-ratus kilometer yang dikonklusikan sebagai penat.

Ym.Bundle kata aku suka gunakan perkataan dasar. Maka atas dasar itu, kebelakangan ini aku agak ketinggalan nak berpeleseran dalam blog-blog kalian. Sungguh, aku ada baca. Cuma nak komen, rasa macam tak berkeinginan. Atau lebih tepat, tak berperasaan. Nak balas komen dalam blog sendiri pun tak berperasaan. Rasa lebih selesa untuk membaca dan terus bermalas-malasan.

Itu sahaja. Bosan kan? Pergi tidur...zzzzzz

p/s: cukai jalan aku sebenarnya tamat tempoh pada 1 Sept 2012..hehehe


• 10 September 2012 •

Buta Minda

Assalamualaikum..

Ampa tau dak kenapa ramai orang kat Malaysia ni senang kena tipu? Pasai depa-depa semua ni senang sangat nak percaya. Ramai hat yang kurang pandai. Atau dalam bahasa kasaq dia, buduh piang.

Kalau ampa baca ataupun dengaq kat mana-mana, ampa mesti tau ramai orang Malaysia yang kena tipu dengan sindiket gores dan menang. Kunun ampa menang sebijik kereta, pahtu ampa kena bayaq RM2000 untuk kos penghantaran. Ampa pulak cetek akai, dok bagi depa RM2000 sebab ampa dah bayangkan nak dapat satu keta besaq. Tu contoh ja. Kami tau ampa bukan camtu. Kot.

Sama jugak macam ampa dapat email daripada obersi. Jutawan daripada Nigeria kununnya nak sedekahkan sebahagian harta dia untuk anak yatim kat Malaysia. RM2 juta dia nak transfer kat akaun ampa. Tapi sebelum tu, dia habaq dalam english la, dia nak ampa bayaq sikit kos untuk urusan dengan pihak bank, kata la RM5000. Masa tu mata ampa bukan camni dah, ►_◄. Tapi mata ampa dah jadi camni, $_$. Ampa percaya bulat-bulat, pastu ampa bagi RM5000 kat dia.

Sama jugak macam ampa dapat meses berantai. Mintak ampa sebarkan meses tu pada 7 orang kawan. Kalau ampa hantaq, ampa akan dapat nasib yang baik dalam masa 7 jam. Kalau tidak, ampa akan ditimpa musibah selama 7 tahun berturut-turut. Ampa pulak masa tu takdak kedit. Sanggup ampa buat SOS topup semata-mata nak sebarkan benda-benda tak guna camtu. Ni pun contoh jugak, kami bukan nak kata betui-betui kat ampa tau.

Itu belum masuk hat yang penipuan untuk jadi keldai dadah, penipuan untuk nombor Celcom terpilih, penipuan meses Petronas dan seumpamanya. Banyak lagi kalau nak bagi contoh. Tapi penat kami nak esplen banyak-banyak.

Lagi contoh ialah macam yang ada dalam Metro hari ni. Mana letak akai pun taktau la. Sanggup buat personal loan nak bagi RM12000 pada bomoh palsu. Siap bagi anak perempuan duduk satu minggu dengan bomoh. Sebab percaya anak perempuan dia akan mati esok pagi. Percaya bomoh tu mampu selamatkan anak dia daripada mati. Kemudian bila dah puas kena tipu, baru buat report pulis kununnya macam kena pukau. Nak bagi peringatan kat orang lain biaq tak kena nasib yang sama macam dia.

Contoh paling jelas orang yang kena tipu ialah macam gambaq kat bawah ni. Lebih 60,000 orang yang percaya. Taktau la kat macam mana depa semua ni belajaq masa muda-muda. Monteng kelas agaknya.


Mohon ampa sekalian toksah la mudah sangat nak percaya benda-benda camni. Ingat weh,rezeki takkan senang-senang mai kat kita tanpa usaha. Orang kaya pun takdak yang baik sangat nak tolong kita jadi kaya. Lagi buat depa kaya adalah. Lagipun, kita kan ada Dia yang patut, dan wajib kita percaya.

p/s: Mat Luthfi kata, kepercayaan tanpa rasional didefinisikan sebagai BUTA.


• 09 September 2012 •

Karaoke Ah Chai

Assalamualaikum..

Merujuk kepada terbitan sebelum ini, selamat mendengar..
kihkihkih

Oh KL~ Oh KL~


• 07 September 2012 •

JoHaRa Tak Guna

Assalamualaikum...
Aku dapat bayangkan entry kali ini tak akan tersusun mengikut plot..:D

Aku rasa, aku macam dah dapat tau kenapa aku tak suka lagu Untuk Dia. Mungkin sebab bila dia sebut "Key Ell" tu macam over sangat. Rasa macam nak lempang orang yang cakap macam tu. Sebut KL jer dah la. Ini tidak, tak habis-habis dengan "Key Ell" dia tu..

Pagi tadi aku gerak pi KL dalam pukul 6.00 pagi. Ada urusan kat JPJ Shah Alam. Sebenarnya beberapa bulan sebelum tu aku dah pergi JPJ Kuantan. Dan pihak JPJ Kuantan kata, aku kena pergi JPJ Shah Alam. Then tadi JPJ Shah Alam tanya, "Kenapa tak buat kat Kuantan jer? Tak payah jauh-jauh sampai ke sini." Aku rasa macam murka. Tapi aku diamkan aje. Malas nak cakap apa-apa. JPJ Kuantan tu bodoh-bodoh alang agaknya.

Tadi masa drive, aku bertukar-tukar siaran radio. Sekejap SinarFM, sekejap HotFM, sekejap EraFM. Untuk makluman, pilihan ke-4 aku ialah SuriaFM. Then ada 1 button lagi aku tak tau nak set untuk radio apa. Okey sambung, tadi masa aku dengar SinarFM, lagu tak best. So aku tukar HotFM, dia baru nak pasang lagu oppa gangnam style. So aku pun tukar la EraFM, kebetulan dia pun nak pasang lagu yang sama, oppa gangnam style. Then, terus aku offkan radio.

Jujur cakap nih, aku tak pernah tengok lagi video yang sekarang ni dikhabarkan jadi kegilaan orang ramai. Sampaikan bos aku kat ofis pun pasang lagu tu. Kerani aku pun sama. Then dia kata, viewers video tu kat youtube dah sampai 93 juta (minggu lepas). Sebenarnya aku bukan tak suka lagu tu, cuma buat masa ni aku belum rasa nak tengok. Plus aku tak faham sepatah haram.

Aku selalu jugak terfikir, kenapa fenomena K-pop ni menular kat Malaysia. Padahal mostly kita tak faham apa yang diorang kata. Jujur cakap lagi nih, aku selalu tukar siaran radio bila diorang pasang apa-apa lagu korea. Sebab aku tak faham dan tak boleh nak nyanyi. Aku tau la suara aku tak sedap. Tapi sekurang-kurangnya beri la peluang kat aku yang nak menyumbangkan lagu ni. Grrrrrrr.....

Dulu-dulu, maksud aku sebelum ni la, aku quite okey bila dengar lagu Ainan Tasneem - Aku Suka Dia tu. Tapi lama kelamaan, sekali lagi aku rasa macam nak lempang orang. Aku rasa, weakest link untuk lirik lagu Ainan Tasneem tu ialah perkataan "sesuatu". Tulis lirik asal boleh jer, "Hatiku rasa sesuatu". Rotan kang haa.. ops sorry Ainan, abang tetap akan pertahankan Ainan. Kehkeh

Sekarang ni, hobi aku ialah dengar Acai nyanyi kat radio pukul 8.30 pagi. Pagi tadi dia nyanyi lagu Untuk Dia. First time aku rasa lagu tu sedap. Sebelum ni aku tak pernah senyum dengar lagu tu, tapi tadi siap tergelak-gelak. Pagi semalam pulak ada Pandalela Renong. Dia la yang cakap "JoHaRa Tak Guna". Kahkahkah..

Itu jer entry kali ni. Serabut kan? Hehehe..sebenarnya aku penat. Baru sampai pukul 8.30 malam tadi. Jadi aku agak kemalasan nak susun-susun ayat. Sekian, terima kasih.


• 05 September 2012 •

Tapi Tak Apa





Aku perlukan seseorang untuk tukar bicara. Aku perlukan seseorang untuk berbalas kata. Aku perlukan seseorang untuk jadi tempat bercerita. Walaupun pada dasarnya, aku yakin bahawa aku tak mampu untuk ceritakan apa-apa. Aku perlukan sebelah telinga, yang mampu sabar, yang mampu faham, yang mampu dengar bisu bahasa.

Tapi tak ada.

Aku faham bahawa tak semua orang mampu dengar semua cerita. Jua tak semua orang mampu wujud pada setiap masa. Atas dasar itu, aku selalu keberatan untuk cuba memula kata. Takut-takut cebisan waktu yang aku ingin, mereka tak mampu luang sedia. Atas dasar itu juga, aku pendamkan segala rasa, aku diamkan segala nada. Dengan harapan, mereka akan sedar dan tanya, “kamu ni sebenarnya kenapa?”

Tapi tak ada.

Mendengar alunan melodi yang tajam ini kadang-kadang menusuk nyawa. Mendengar kelongsong bunyi yang kejam ini kadang-kadang membunuh masa. Benar, mata yang bisu kadang-kadang tak seagung lafaz suara. Tarian jari yang kaku juga tak akan sehebat kuping telinga. Aku masih tetap, masih mahu, dan masih ingin untuk bercerita.

Tapi tak apa.
Tapi tak apa.


• 03 September 2012 •

NAF

Awak okey ke?

Itu adalah soalan yang ingin aku ajukan kepada dia. Sayangnya, soalan itu cuma terluah di sini saja. Atas alasan, aku tak ingin menambahkan kekusutan sedia ada. Atas alasan, aku takut untuk lihat kamu kecewa. Atas segala kepelbagaian rasa yang, entahlah, cukup untuk aku katakan yang aku sedikit tidak selesa.

Mungkin buat masa ini kamu perlukan seseorang untuk bercerita. Mungkin. Agaknya. Secara jujur, aku ingin jadi tempat di mana kamu bisa luahkan apa sebenarnya yang kamu rasa. Secara jujur, aku ingin dengar sebahagian cerita yang mungkin akan buat aku terasa hiba. Aku ingin. Tapi aku tak pasti bagaimana untuk bermula.

Itu sahaja. Harap kamu lalui situasi ini bersama masa. Ingat, aku ada di sini. Biarpun hakikatnya jasad aku seakan kini telah tiada..


Back To Top