Header2

• 31 July 2012 •

Kenihilan

Tadi, bila aku baca semula terbitan-terbitan lama, aku setuju bahawa naskah itu adalah antara risalah yang paling sukar untuk dicerna. Dan secara jujur, naskah yang sukar dicerna itu juga adalah antara risalah yang betul-betul aku suka. Suka yang aku maksudkan ialah dalam konteks mengadaptasikan sesuatu yang kompleks menjadi suatu rasa, menjadi suatu bahasa, dan menjadi suatu cerita.

Pada aku, tajuk itu sendiri adalah self explanatory. Aku cuba definisikan suatu situasi di mana logik akal sendiri seakan tak mampu untuk mengerti. Aku cuba gambarkan sebuah kotak, berbentuk segitiga, berbucu lima, dalam animasi 3 dimensi. Nyatanya aku gagal, dan imaginasi ini menerawang jauh, meninggalkan kekusutan aku terus digantung tidak bertali.

Jika perlu ditanya maksud entri apa adanya, maka aku memilih untuk pesongkan segala tanda ke arah bawah sedikit daripada paksi utara. Maksudnya, kamu masih disogokkan dengan skema jawapan mencolok mata. Tapi dalam masa yang sama, jawapan pada helaian kertas putih itu aku tulis dengan pena tidak berwarna.

Ia ada. Ia adalah kombinasi pecahan daripada cerita kehidupan beratus-ratus purnama. Ia akan tetap ada. Sehingga tertakdir bahawa ia akan kekal menjadi tiada. Itu sahaja.


• 29 July 2012 •

Kami Yang Termalu

Tadi kan, kami kan, kami kan, kami kan, kami rasa macam gagap pulak taip camni. Sebenaqnya tadi kami taktau nak buat apa. Jadi kami saja-saja la pi jenguk tempat kami hat yang lama-lama. Tempat kami yang lama-lama tu maksudnya laman komuniti la. Lama dah kami tak pi situ. Lebih setahun kot. So pagi tadi kami try la bukak pahtu login macam biasa.

Lepaih ja kami login, kami tengok ada satu meses kat dalam inbox kami. Jengjengjeng...


Kami menang weh. Dah setahun baru kami tau. Kahkahkah! Malu aih..

p/s: awatnya dia sat2 panggil kami saudara, sat2 panggil kami saudari..ingat kami ni 2 Alam ka? grrrrr


• 27 July 2012 •

Pemburu Cinta

Assalamualaikum.. *Waalaikumsalam Warahmatullah..*

Berhubung dengan entry sebelumnya, kali ni gegendang telinga aku dah tak lagi terngiang-ngiang lagu Sleeq ft. Najwa Latif – Untuk Dia. Sebabnya, sejak 2-3 hari lepas aku berulang-ulang kali dengar lagu Lovehunters. Bukan setakat dengar, siap menyanyi-nyanyi pun ada. Alhamdulillah la sebab suara aku sedap. Bak kata sida, pitching aku almost perfect, tak bersepah merata-rata bagaikan tahi unta..:|

Bagi sesiapa yang tak tahu, lagu ni sebenarnya lagu lama. Band asal dari Singapura. Aku rasa semua orang mesti tak akan percaya kalau aku katakan yang aku kenal dengan anggota band Lovehunters. Singapore dengan JB kan dekat jer. So, sungguh memang aku kenal dengan diorang bertiga. Aku kenal Yazid, Mol dengan Saha. Cuma diorang jer la yang tak kenal aku. Kehkehkeh.

Ehem2..okey, berbalik kepada cerita asal. Beberapa hari lepas aku terdengar balik lagu ni kat SinarFM. So start daripada hari tu, aku dok pasang la lagu ni ulang-ulang. Memang best. Jadi di hari baik bulan baik ni, aku nak kongsikan lagu ni untuk halwa telinga korang semua. Kalau sedap, tepuk tangan. Kalau tak sedap, tepuklah tangan kuat-kuat. Yeahhh!!





Itu jer. Kbai.


• 24 July 2012 •

Kotak Masa - Sangkala 1

“Ibu, Kak Long nak tanya sikit boleh tak?”

“Tanya apa?”

“Macam mana Ibu kenal dengan arwah Abah? Then masa dulu macam mana Ibu boleh decide nak kahwin dengan arwah Abah?”

Soalan puteri sulungnya lewat petang tadi buatkan Nurul senyum sendiri. Secara tak langsung mengimbau kembali kenangan masa mudanya bersama arwah suami. Sungguh tak disangka, begitu cepat masa berganti. Terasa baru semalam mereka saling berkongsi hati. Walaupun pada hakikat, kini hampir sedekad arwah suami dijemput Ilahi.

Bila diingat-ingat semula, perkenalannya dengan Khairi berlaku dalam situasi yang dia sendiri tak jangka. Umurnya pada waktu itu cuma belasan tahun. Masih dalam Tingkatan Lima. Manakala Khairi yang sedikit lebih berusia adalah abang kepada Zahirah, kawan baiknya. Seawal perkenalan mereka cumalah hanya bersuka-suka, tapi lama-kelamaan kian jatuh menjadi suka.

Daripada posisi sedang berbaring, Nurul perlahan bangun menyelongkar kotak kayu di bawah katil. Kotak yang menyimpan khazanah cinta dia dan Khairi. Kotak yang menyimpan album-album gambar, tempat kenangan diam semadi. Dan kotak yang menyimpan naskah surat-surat lama, bukan sekadar medium komunikasi, malah turut menjadi sumber dia berinspirasi.

Nurul mencapai album kenangan zaman sekolah, membelek-belek foto dia dengan Zahirah. Saat mereka bersama-sama dalam Tingkatan 5 Amanah. Saat mereka sama-sama belajar Rampaian Sains, Ilmu Alam dan Ilmu Hisab di serambi rumah. Saat di mana bermulanya sebuah kisah. Kisah yang kini akhirnya cuma tinggal sejarah.

Sambil menatap gambaran masa muda, sesekali dia menguap. Sesekali dia tersenyum, bila sebahagian bibit indah seakan pantas datang mencerap. Dan akhirnya, tanpa sedar dia terlelap. Hanyut dibuai kenangan yang secara kerap bertandang hinggap.

Kotak Masa - Prekuel 1
Kotak Masa - Prekuel 2


• 23 July 2012 •

Bukan Untuk Dia

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum..Wa’alaikumsalam Warahmatullah (aku tolong jawab bagi pihak kalian yang membaca).

Pernah tak bila kamu terjaga daripada tidur, kamu terasa something yang annoying gila. Sebagai contoh, lagu yang kamu betul-betul tak suka seakan terngiang-ngiang kat gegendang telinga. Jika jawapan kamu ialah ya, bermakna kamu mungkin dapat faham apa sebenarnya yang aku rasa.

Seawal pagi sewaktu alarm membangkit lena, dalam minda aku bernada lagu Sleeq & Najwa Latif – Untuk Dia. Hatta masa sedang bersahur pun, lagu itu masih lagi kekal bergema. Secara jujur, aku, Sleeq dan Najwa Latif tak ada masalah apa-apa. Aku tak ada rasa tak suka pada mereka. Rasa suka pun tak ada. Biasa-biasa saja. Malah sebenarnya lagu Najwa Latif – Kosong tu sendiri buat halwa telinga aku cukup selesa.

Tapi..tapi apa? Tapi lagu Untuk Dia memang aku tak suka. Jangan tanya kenapa, kerana jawapannya ialah “aku tak suka”. Lagu tu macam childish sangat. Rasa macam nak pukul mereka bertiga kalau imaginasikan yang mereka tengah nyanyi live kat depan mata. Mungkin ada antara kalian yang suka. Tapi pada aku, “Tolonglah! Lagu macam ni? Grrrrr..”

Aku syak, mungkin sebab semalam aku tertengok video klip mereka kat TV3. Unsangkarable betul, sampai boleh terbawa-bawa kat dalam kepala. Jadi kesimpulannya, sekarang aku cuba dengar mp3 untuk divertkan minda aku kepada seleksi bunyi yang aku suka. Ya, at least aku cuba..:|

p/s: untuk dia~ untuk dia~ grrrr..entah apa-apa!


• 20 July 2012 •

Rama-Rama Di Bulan Ramadhan

Tak aci la. Hampir kat semua tempat aku baca entry pasal Ramadhan. Jadi aku pun nak taip pasal Ramadhan jugak. Cuma masalahnya aku tak tahu nak taip pasal apa. Aku nak ucapkan selamat berpuasa dan selamat berbuka, rasa macam tipikal sangat. Aku tak ucap pun kalian tetap wajib puasa jugak kan? Jadi aku tak nak taip apa-apa kali ni. Itu jer. Kbai.

Beberapa hari lepas, aku terdengar motivasi Dato’ Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah. Berkenaan dengan puasa dan solat. Dalam motivasi tu, Dr. Fadzilah ada kata yang puasa tu lebih penting daripada solat. Sebenarnya masa aku dengar tu, aku agak terkejut. Sekarang pun aku masih agak terkejut. Nak menaip pun ada rasa sedikit takut.

Maklumlah, ini lebih termaktub dalam isu agama. Aku nak taip lebih-lebih pun, ilmu aku bukannya penuh kat dada. Aku takut bila dengar Dr. Fadzilah kata macam tu. As if solat tu perkara biasa dan puasa lebih utama. Padahal kita semua sedia maklum bahawa Menunaikan Solat Lima Waktu ialah Rukun Islam yang kedua. Tapi bila aku dengar lama-lama, aku rasa apa yang Dr. Fadzilah kata tu mungkin ada benarnya.

Dia kata, orang perempuan kalau uzur dan tak dapat solat, maka solat yang ditinggal tu tak perlu ganti. Maknanya kalau uzur selama 7 hari, maka 7 hari itulah solat tak perlu diganti. Berbeza pula dengan puasa. Contoh kalau uzur seminggu, maka puasa seminggu tu tetap perlu diganti juga. Sebab itu kot Dr. Fadzilah kata yang puasa lebih utama.

Aku tak nak komen banyak-banyak pasal apa yang dia kata. Takut apa yang aku huraikan terpesong dari makna yang sebenarnya. Aku cuma sekadar nak kongsikan info. Solat tetap tiang agama. Berpuasa sebulan dalam bulan Ramadhan tetap Rukun Islam ketiga. Dan kalau uzur tetap kena ganti puasa. Sekian entry Ramadhan aku yang tak seberapa.

Ehem-ehem..Selamat Berpuasa..►_◄


• 19 July 2012 •

Kotak Masa - Prekuel 2

“Ibu, Kak Long nak tanya sikit boleh tak?”

“Tanya apa?”

“Macam mana Ibu kenal dengan arwah Abah? Then masa dulu macam mana Ibu boleh decide nak kahwin dengan arwah Abah?”

Sekali lagi Mak membisu diam. Entah apa yang difikir agaknya, aku sendiri pun kurang faham. Masih ralit dia mengemaskini Buku Persediaan Mengajar. Sesekali dahinya berkerut. Sesekali pula membetulkan letak duduk kaca mata yang makin melorot.

“Ibu, Kak Long tanya ni.” Nada aku cuma mendatar bila soalan tadi seakan lama terbiar hambar.

“Ibu pelik lah. Kenapa tiba-tiba Kak Long tanya?” Mak menoleh dengan pandangan yang semakin berkerut. Jemarinya yang dari tadi rancak menari kini tiba-tiba turut terhenti.

“Saja. Kak Long pun nak tahu juga kisah cinta Ibu masa muda-muda. Hehe...”

“Eh, nak buat apa? Tak ada yang menarik pun Kak Long. Cerita dah lama, Ibu sendiri pun dah lupa.”

Sungguh aku tak rasa percaya. Aku fikir Mak sengaja nak pendamkan semua kisah jadi rahsia. Pada aku, tak mungkin Mak boleh lupa kisah kasihnya sewaktu muda. Lebih-lebih lagi kisah cinta dia dan arwah Ayah. Aku tahu, Mak cukup sayang pada arwah Ayah. Buktinya sehingga kini, hati Mak seakan langsung tak pernah berubah. Tetap setia meskipun hampir 10 tahun jasad arwah Abah dimamah tanah.

“Alaa...Ibu cerita la sikit. Sikit je...” Aku cuba untuk memujuk. Manalah tahu kalau bicara Mak boleh perlahan-lahan masuk ke tajuk.

Mak kembali diam. Sesaat kemudian keningnya mula berkerut lagi. Dengan telunjuk kiri merapat ke bibir, mata pula memandang siling seakan berfikir cukup teliti. “Eh, Kak Long tahu kan tajuk lagu Siti Nurhaliza yang dulu-dulu?” Tiba-tiba saja Mak mula ajukan tanya. Suatu soalan yang aku rasa, aku tahu akan jawapannya.

“Elleh, Biarlah Rahsia kan? Kak Long tahu Ibu nak lari topik. Hahaha...”

“Tak. Bukan.”

“Errr...Habis tu?”

Bukan Cinta Biasa.” Serentak luahan kata, Mak kembali mengalih pandang dan terus sambung habiskan kerja.

Kotak Masa - Prekuel 1


• 17 July 2012 •

Muhahahasabah

Merujuk kepada entry semalam, aku sebenarnya tertarik dengan komen saudara Ym.Bundle. Saudara? Kahkahkah..kemain formal aku nak menyambut Ramadhan yer. Ehem..aku bukannya nak membahan siapa-siapa. Plus komen Ym.Bundle kalau diikutkan hanya komen yang biasa-biasa. Tapi pada aku, kriteria macam dalam komen tu tak ramai orang yang betul-betul ada.

Kebiasaannya kita harap dapat memutar masa. Ingin perbaiki segala kesilapan masa muda. Dengan harapan, perjalanan hidup kita akan lebih baik seandainya beberapa perkara dapat kita ubah agar tidak menyamai perjalanan hidup yang sedia ada. Kalau boleh kita ingin jadi begini, kalau boleh kita ingin jadi begitu, dan kalau mampu kita ingin jadi lebih baik berbanding yang sebelumnya. Hinggakan kadang-kadang kita tak sedar, mengubah sebahagian masa lampau secara tak langsung membunuh diri kita untuk jadi sebahagian daripada kita.

Secara jujur, aku cukup jarang nak menyesal dengan segala kehidupan masa lalu. Maksud aku, penyesalan terhadap takdir kehidupan yang telah berlaku. Kecuali bahagian dosa aku dengan Tuhan, yang itu aku rasa penyesalan memang kena lebih daripada perlu. Dan secara peribadi pula, aku pun tak nak ubah apa-apa kehidupan yang lama meskipun kalau peluang untuk mengubah itu terwujud ada. Aku fikir, tak ada guna aku ubah sejarah yang pernah tercipta, andai perubahan itu menjadikan aku hilang jatidiri aku sebagai manusia.

Tapi jangan disalah faham pula. Sebenarnya tak salah untuk punya impian dan cita. Tak salah juga untuk punya niat bermuhasabah. Kerana selagi hidup sebagai manusia, kita akan sentiasa punya niat untuk berubah. Yang penting, jangan menyesal dengan kehidupan yang sudah, dan terus belajar dari kehidupan yang salah.


• 16 July 2012 •

Benang Sutera

Sejujurnya tahun ini aku meng-ga-la-mi banyak situasi yang rugi. Rugi yang aku maksudkan ialah dalam definisi kosong tanpa sebarang isi. Rugi yang aku signifikasikan sebagai kegagalan untuk berdiri di atas paksi. Rugi yang aku justifikasikan sebagai ketidakmampuan untuk mencari diri sendiri. Puas berkelana, jauh mengembara. Berlagak dusta dan bercanda tawa pada sisi kehidupan yang kadang-kadang harus aku tangisi.

Mungkin ini adalah karma. Mungkin kehidupan aku pada masa kini sebenarnya sedang dihukum dek sebahagian dosa dan kenangan zaman muda. Mungkin aku sedang menanggung segala balasan akibat perbuatan cela dan derhaka. Mungkin titian hidup yang aku lalu belum betul-betul mendapat redha dari mereka yang sepatutnya. Mungkin. Aku sendiri tak pasti kerana semua kemungkinan itu sememangnya ada. Apa yang termampu, aku harap kehidupan ini sentiasa diberkati dan dirahmati oleh Yang Maha Kuasa.

Tamat episod mungkin, biar aku bicara pada seri yang lebih positif berbanding dengan perenggan pertama dan kedua. Sebenarnya bila difikir-fikir semula, tak semua situasi yang aku rasa termaktub dalam sisi rugi sahaja. Bahagian yang untung pun ada juga. Meski pada tahun ini aku meniti norma kehidupan yang tak seberapa, tapi bila diekstrak dengan teliti, rasanya aku tak pernah lupa untuk lalui dogma hidup dengan rasa gumbira.

Aku kira setiap daripada kita sebenarnya punya momen tersendiri untuk rasa hiba dan kecewa. Tak selamanya hidup akan kekal ceria. Dan tak selamanya juga hidup akan kekal berduka. Kita mungkin bernafas pada komposisi udara yang sama, tapi cara kita menikmati setiap denyutan nadi adalah cukup berbeza. Pesan aku pada kita, pastikan setiap hari punya sedikit masa untuk gelak ketawa. Satu minit pun tak apa, asalkan ketawa itu dinikmati dengan segenap rasa.

Hakikat hidup kita pastinya akan menuju mati. Namun jangan matikan hati sebelum nafas betul terhenti.


• 14 July 2012 •

Kotak Masa - Prekuel 1

“Ibu, Kak Long nak tanya sikit boleh tak?”

“Nak tanya? Kak Long nak tanya apa?”

“Ibu rasa kan, Kak Long boleh ke jadi penulis novel?”

Mak diam. Sepasang matanya masih lagi terpaku di kaca TV. Sesekali menekan alat kawalan, mencari-cari siaran yang dikehendaki. Mungkin Mak tak sangka aku akan tanya soalan tadi. Atau mungkin Mak fikirkan jawapan yang sesuai agar aku tidak terasa hati.

“Ibu, Kak Long tanya ni.” Kataku lagi bila soalan tadi seakan lama terbiar sepi.

“Kak Long ni betul ke nak tulis novel? Jangan jadi macam dulu pulak. Berkurung bagai nak rak, tapi hasilnya langsung apa pun Ibu tak nampak.”

“Dulu tu kan dah lama. Masa tu Kak Long baru umur tujuh belas.” Balas aku sambil ketawa. “Dulu tak cukup masa. Dengan nak SPM lagi, mana sempat Kak Long nak tulis cerita. Tapi kali ni Kak Long rasa nak cuba menulis semula. Mana tahu kalau-kalau ada rezeki, anak Ibu nanti boleh ada novel sendiri. Hehe..”

Sekali lagi remote control ditekan-tekan. Kali ini membuatkan lontaran suara pembaca berita tampak jadi semakin perlahan. Mak mula mengalih pandang. Tidak lagi terpaku pada Saluran 103. “Kak Long ada blog kan? Kak Long cuba la publish, bagi kawan-kawan Kak Long baca. Manalah tahu kalau-kalau kawan Kak Long suka.”

“Eh segan lah. Kak Long tulis entah apa-apa lepas tu nak bagi kawan-kawan baca.”

“Kalau nak belajar memanglah macam tu. Tak ada orang yang tulis-tulis terus berjaya. Kak Long kena biarkan orang komen, kena biarkan orang baca. Daripada situ baru Kak Long tahu apa yang orang suka, apa yang orang tak suka.”

Giliran aku pula terdiam. Apa yang Mak kata tadi memang betul ada benarnya. Kalau sungguh aku nak cuba, bermakna aku perlu sedia untuk jadi bahan ketawa. Sekurang-kurangnya bila mereka kritik, bermaksud cerita aku telah ada yang sudi baca.

“Kak Long dengar tak apa yang Ibu cakap?”

“Dengar. Ibu kata Kak Long kena biar kawan-kawan Kak Long baca. Hehe..Eh, Ibu tak nak baca apa yang Kak Long tulis ke? ” Tanya aku sekadar cuba untuk menduga.

“Ibu dah puas baca tulisan Kak Long. Sejak tadika lagi. Bukannya cantik pun.” Balas Mak lantas volume TV dikuatkan semula. Ya, aku faham. Mak sebenarnya nak tengok Buletin Utama.


• 13 July 2012 •

Cinta Muka Buku

Sejenak tadi aku melihat-lihat notes lama di muka buku. Baru aku perasan bahawa kebanyakan post-post aku lebih berunsurkan tajuk lagu. Agak kelakar bila melihat cerita-cerita aku yang dulu. Di mana keterbukaan aku dalam mengolah frasa bahasa, buatkan aku kerap menulis ikut suka dan sering menulis ikut mahu.

Tapi aku kira coretan waktu itu sebenarnya jauh lebih baik berbanding naskah aku pada zaman-zaman yang terdahulu. Waktu dulu, segala terbitan rasanya terlalu cetek dengan ilmu. Sekarang pun masih cetek, tapi masih cuba perbaiki setakat mana yang aku mampu. Akan datang pula, aku masih tak akan tahu. Mungkin bila tiada kisah, aku mula memilih untuk membisu.

Sebenarnya apa yang aku nak taip kali ini pun aku tak tahu. Aku bosan. Aku rindukan sesuatu. Aku rindukan seseorang yang mirip seperti kamu. Aku harap kamu pun akan rindukan aku. Kalau jawapan kamu ialah rindu, InsyaAllah aku akan rasa lebih dari terharu. Tapi kalau jawapan kamu langsung tak rindu, maka aku akan anggap kamu menipu. Ataupun mungkin kamu malu. Kahkahkah.

Diamlah semua. Aku nak tidur. Kalau sudi, mohon kalian semua rindukan aku..=))

p/s: perlu ke aku salin semula terbitan lama di muka buku?


• 12 July 2012 •

Demi Rasa

Dengan nama Yang Maha Karim.

Terasa sukar untuk mulakan frasa pertama. Bagai jenuh berteleku memandang kosong, mencari ilham tulis cerita. Apa sebenarnya yang aku rasa, adalah apa yang aku terpaksa rasa. Kompleks. Kosong. Mati tak bernyawa. Hanya membiar fikiran menerawang jauh mencari dusta, yang mungkin bisa buat jiwa aku agar kembali bernafas lega.

Andai aku punya tunas rasa, maka kamu harus punya turas cerita. Hikayatkan apa yang perlu aku tahu, agar aku tidak tertanya. Paksikan aku pada dunia metafora yang kamu cipta, tanam aku dalam-dalam, biar aku berdiam menelan hadam butir bahasa. Teruskan berkata dengan lafaz kata yang kamu suka, bukan lagi isyarat bisu sebagai medium bual bicara.

Jika apa yang aku pinta nilainya lebih besar dari dunia, maka aku pinta kamu. Agar kamu kelak bisa jadi besar sebesar dunia. Namun jika tulisan takdir berlawanan dari apa yang kita sangka, maka aku harapkan takdir kamu adalah terindah dari Yang Maha Kuasa.

Aku tak ingin memaksa, kamu boleh lari sejauh mana yang kamu suka.


• 11 July 2012 •

Turn Left, Turn Right

Sebenarnya niat untuk mengulas tentang ini memang dah agak lama. Cuma idea tu tiba-tiba datang selepas Apple terbitkan entry Kiri Kanan Buta Warna. Jangan risau, tiada apa yang salah tentang terbitannya. Jadi aku harap Apple jangan pula cepat terasa. Apa yang aku nak ulas hanyalah tentang kanan dan kiri, itu sahaja.


Cilaka. Sebenarnya aku nak cari gambar tangan kanan dengan tangan kiri. Grrr...


Aku rasa kebanyakan, atau hampir semua daripada kita yang membaca terbitan ini mempunyai persamaan dari segi agama. Dalam Islam, kita digalakkan untuk mendahulukan yang kanan sebelum kiri. Hatta dalam solat pun kita akan meletakkan tapak tangan kanan di atas tangan kiri. Itu tidak termasuk dalam konteks memotong kuku, mulakan langkah atau masuk ke rumah. Semua perkara itu kalau boleh biarlah didahulukan dengan bahagian kanan, bukan yang kiri.

Tapi kadang-kadang kita selalu tak sedar, bahawa banyak perkara yang kita dah terbiasa untuk mulakan dengan bahagian yang kiri. Sebagai contoh, sejak kecil kita diajar menulis dan membaca dalam sistem ejaan rumi. Dan kita sendiri sedia maklum bahawa kita akan mulakan penulisan dan pembacaan ini dari bahagian di sebelah kiri.

Bagi yang dah biasa memakai t-shirt berkolar atau baju kemeja, cuba lihat di mana letak duduk bahagian butangnya. Ya, butang baju berada di bahagian sebelah kanan. Dan ini bermaksud, kita akan sentiasa meletakkan bahagian kiri di atas bahagian kanan. Begitu juga dengan zip seluar, bahagian kiri akan sentiasa berada di atas bahagian kanan. Kita mungkin tak pernah sedar, dan hanya anggap semua ini berlaku secara kebetulan.

Seperkara lagi yang aku perasan ialah dalam aktiviti berkawad. Aku terfikir apakah rasionalnya untuk menyebut perkataan kiri dengan lebih kuat. Sebagai contoh, bila orang berkawad, kita akan selalu dengar jeritan Kiri! Kiri! Kiri Kanan Kiri! ataupun Kiri Kanan Kiri! Kiri Kanan Kiri! yang dilontar dengan penuh semangat. Persoalannya tetap sama, kenapa jeritan kiri yang ternyata lebih kuat.

Mungkin kerana kita adalah negara yang pernah dijajah. Dan ini adalah kesan daripada penjajahan turun temurun dari zaman yang sudah-sudah.

p/s: teringat lirik lagu Ahli Fiqir – iya iya, saya saya, kiri kanan, ikut saja.


• 09 July 2012 •

Terima Kasih Tak Terhingga

Dulu masa mula-mula blog ini dicipta, aku pernah terfikir apakah naskah aku akan ada orang yang baca. Dan kini sedar tak sedar, aku dah ada 107 followers. Meski angka hanya sekadar angka, tapi bohong la kalau aku kata yang aku tak bangga. Ya, aku pun manusia, kadang-kadang terdetik bangga tu memang ada.

Tapi kalau diikutkan, aku lebih terharu sebenarnya. Terharu kerana aku dikelilingi kelompok pembaca yang “baca” bukan sekadar baca. Kelompok yang terus sokong meskipun kadang-kadang mereka kurang faham butir cerita. Kelompok yang jadi tempat aku bergurau senda, tempat aku gelak ketawa. Kelompok yang pada aku, secara pukal buatkan blog ini seakan makin dan terus bernyawa.

Sebenarnya dalam 107 ni, aku cuma ada seorang saja kenalan lama. Aku rasa cuma dia yang tahu bahawa blog ini aku yang punya. Selebihnya adalah kenalan maya. Kenalan yang jadi tempat bertukar cerita tanpa tahu aku siapa. Kecuali beberapa orang yang sedar akan persamaan cara tulisan aku dengan gaya bahasa blog yang lama.

Bila dilihat pada deskripsi, Capital H: The Me That I Couldn't Be, dapat aku nyatakan bahawa deskripsi itu sendiri adalah self explanatory. Perihal aku yang ingin lari dari siapa aku yang pernah orang kenali. Perihal aku yang tak ingin kenalan lama kekal membayang dan terus ekori. Perihal aku yang tak mahu mereka tahu apa yang terluah dalam setiap terbitan entry. Atas sebab itu, aku sedar bahawa aku tak kenal sesiapa di sini. Dan aku tak fikir yang blog ini akan ada orang kunjungi.

Alhamdulillah, akhirnya aku membesar bersama masa. Jadi, biar aku imbas sebuah cerita yang tak berapa nak lama. Waktu itu, blog aku biasanya cuma Sis AI dan Camy saja yang baca. Selepas Sis AI kipaskan pada awal bulan 5, baru la banyak blog-blog lain yang aku jumpa. Aku kenal Ym.Bundle dan Apple daripada sana. Chic Na, Emma dan sis92 pun aku kenal daripada sana juga. Oh ya, Husna dah follow agak lama. Dia follow daripada facebook pada mulanya.

Daripada blog Ym.Bundle, makin banyak pula kawan untuk aku tukar bicara. Aku mula jelajah blog Liyaa, Chuu, Syida, Payeh, Yuyu, Aien dan Chemay. Daripada blog sida-sida, jumpa pulak blog drzira. Kemudian tak lupa juga blog yang pada aku, penuh dengan bahasa jiwa seperti blog ana, ghost writer, SaddLone, Aku Perempuan, Hadira, Ninaaa dan mungkin kembarnya Ninaa. Dan lagi, blog-blog yang aku jumpa daripada Fibox rasmi seperti kopi pasta, Ety, eiyqha, nurul barakah dan lain-lainnya. Jangan risau kalau aku tak follow, insyaAllah aku akan still jenguk dan baca.

Kepada nama yang aku tak backlink tu, mohon jangan terasa. Aku tak terdaya nak taip semua nama. Jadi sementara aku belum publish cerita, biar aku backlink lagi 2-3 nama antaranya si kiut lavender, cik lala, Ee, shawn razaleigh, Aunty Ash, Tinta Lana, bobok, Tora dan hara. Nampak tak aku punya 2-3 nama? Kahkahkah. Itu saja. Terima kasih atas kesudian kamu untuk membaca.

p/s: aku rasa mood aku masa menulis adalah berbeza antara peringkat awal dan peringkat akhir cerita.


• 06 July 2012 •

Tapi Apa?

Ada perkara yang ingin aku maklumkan kepada kamu-kamu berdua. Dalam terbitan ini, kamu ialah seorang pemudi dan kamu pula seorang pemuda. Jika dan hanya jika kamu tahu bahawa kamu adalah orangnya, harap dirahsiakan identiti aku selama mana kamu terdaya..

Kisah bermula seperti ini, dulu aku sering jenguk dan singgah dalam blog kamu berdua. Aku daftar masuk gunakan akaun Encik H, aku baca dan terus komen seperti biasa. Waktu itu, susun atur blog aku masih lagi umpama rimba. Sempit dan langsung tidak mesra pembaca, tempat mengumpat berupa Fibox pun aku masih tak ada.

Tapi...tapi apa? (anggap kalian sedang menonton drama melayu di TV3..kahkahkah). Tapi pada waktu itu, di suatu ruang yang lain, aku ada Fibox dan di situ aku banyak habiskan masa. Jadi bila saja aku bertandang ke blog kamu berdua, identiti aku di Fibox masih belum bertukar nama. Masih kekal dengan nama yang ada pada Fibox tadi yang aku cerita..

Di dalam blog kamu berdua, aku baca dan berikan segala komen membina. Kecuali komen berebut-rebut tempat pertama. Tapi...tapi apa? Tapi dalam masa yang sama, di ruang Fibox aku cuma diam sahaja. Aku malaslah nak bertukar-tukar nama. Sebab itu aku selalu biarkan nama yang lama. Dan akhirnya, kamu berdua sangka bahawa akulah stalker misteri yang datang tanpa tinggalkan tanda. Kalau ada pun, cuma tinggalkan tanda tanya..

Maka, suka aku maklumkan bahawa aku adalah dia. Selama ni aku rahsiakan kerana aku ingin lari dari bayangan sedia ada. Tapi..tapi apa? Tapi bila semakin lama, aku rasa serba salah untuk terus pendam rahsia. Jadi aku harap, terbitan kali ini memadam persoalan yang tanpa sedar pernah tercipta..

Kepada kamu-kamu yang lain-lainnya, kalau tak faham silakan tanya. Tapi...tapi apa? Kahkahkah..tapi jawapan aku ialah “tiada”.

p/s: seronok pulak bila bayangkan dialog “tapi” pantas dipotong dengan dialog “tapi apa”..


• 05 July 2012 •

Tajuknya Tiada

Berhubung dengan terbitan sebelumnya, sedari dulu aku dah amalkan rutin kebiasaan untuk biarkan telefon aku berada dalam mode silent sahaja. Kalau nasib kamu baik, panggilan akan dijawab dan SMS akan dibaca jua dibalas dengan segera. Kalau tidak, mohon kamu hantar SMS dengan ayat makan dalam, surut pukul lima, nyonya bangun pagi, siram pokok bunga. Errr...

Okey, sebenarnya macam ni. Tadi sewaktu aku bangun awal-awal pagi, aku nampak salah satu telefon bimbit aku berkelip-kelip minta diperhati. Aku syak ada misscall atau SMS kenalan lama, sebab set telefon itu memang jarang-jarang aku ambil peduli. Rupanya cuma reminder untuk ingatkan aku bahawa tarikh hari ini, 05 Julai 2012, adalah tarikh anniversary..

Lantas secara tiba-tiba keheningan pagi ini membawa ingatan aku kepada dia. Dia yang dah lama menyepi tanpa berita. Dia yang memilih untuk tidak lagi terus bersama. Dia yang meminta untuk tamatkan sebuah kisah, lepaskan kasih yang sudah, dan leraikan biarpun lelah..

Teringat yang semalam aku ada baca terbitan lama si sida-sida. Maaf Syida, aku tersalah eja. Kahkahkah. Errr..ehem. Sebenarnya aku agak kagum, cemburu pun ada, bila mengenangkan bahawa tempoh 9 tahun itu mampu untuk dikongsi bersama biar suka mahupun duka. Dalam masa yang sama, aku akur bahawa segala aturan kisah kita adalah ketentuan Yang Maha Esa. Dan sentiasa kekal menjadi sebuah takdir yang sempurna.

Secara jujur, aku tak rasa aku akan buang segala reminder. Biar saban tahun aku sentiasa ingat kenangan yang pernah kita cipta saat kita masih bersama. Dan kamu, insyaAllah akan sentiasa kekal jadi sebahagian cerita pada lipatan sejarah masa muda.

Happy Anniversary yang ke-rahsia. :D


• 02 July 2012 •

Jangan Bilang Tidak

Andai ini adalah metafora tahap tinggi, maka aku melabelkan sekalian kamu sebagai pembaca kelas satu. Dan andai terbitan kali ini masih sukar kamu fahami, aku tetap suka untuk terus me-level-kan sekalian kamu sebagai pembaca kelas satu..

Andai aku punya hak untuk berkata tidak pada semua perkara yang aku jelak, maka sebahagian perkara baik mungkin tak akan aku nampak ekoran kebebasan mutlak seorang aku untuk membantah setiap usul bila saja aku berkehendak. Bermakna, bila aku jelak dan berkata tidak, mungkin aku terlepas pandang bahawa ada perkara baik yang tersirat letak..

Andai aku tak punya hak untuk berkata tidak, maka boleh diibaratkan sekujur tubuh ini cuma boneka kaku yang terima hadam setiap tusukan dengan bibir terkunci bisu. Di saat ini, kau boleh pijak bila kau hendak, kau boleh tolak bila kau perlu, dan kau boleh tarik bila kau mahu. Selafaz pun tak akan terlontar hingar teriak untuk aku berkata tidak..

Andai aku punya hak untuk berkata ya, maka aku tak akan memilih untuk berkata tidak. Mungkin kerana rutin kebiasaan aku untuk biarkan sesuatu perkara belaku mengikut mereka punya kehendak. Dengan harapan, kebebasan yang aku letak pada setiap frasa “ya” mampu mereka tamsilkan sebagai “tidak”. Persoalannya, adakah mereka faham? Jawapannya ialah tidak..

Andai aku tak punya hak untuk berkata ya, maka aku masih tetap keberatan untuk terus berkata tidak. Pada aku, frasa tidak itu sendiri umpama suatu halangan besar dalam mengajar kehidupan tentang erti sebuah “tidak”. Sebab aku sendiri tak pandai nak berkata tidak walaupun sesuatu perkara itu kadang-kadang wajib untuk dipalang sebagai tidak..

Andai aku mampu meminjam frasa ayat seorang cina, Eric Lim Poh Wing namanya, dengan suara pelat cina dia berkata, "Yes or no is not a problem.
I don’t care one. But the problem is, how much yes is yes and how much no is no
"
. Bermakna, seberapa banyak ya itu akan kekal sebagai ya, dan seberapa banyak pula tidak itu akan kekal sebagai tidak. Sayangnya, kiasan seperti ini jarang-jarang orang boleh nampak..

Andai kamu mengerti apa yang aku maksudkan, bermakna kamu mungkin akan faham pada yang aku rasakan. Bahawa "ya" aku adalah "ya", dan "ya" aku juga adalah "tidak"..


Back To Top